Pusat perniagaan GISB di Rawang diserbu, 10 individu diperiksa

Madiha Abdullah
September 21, 2024 12:01 MYT
Operasi yang bermula jam 6.30 pagi itu turut membabitkan petugas daripada FRU, JAIS, dan MPS.
RAWANG: Kira-kira 10 individu diperiksa dalam serbuan di pusat perniagaan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd di Bandar Country Homes, di sini, pada Sabtu.

Ringkasan AI
  • Kira-kira 10 individu diperiksa dalam serbuan di pusat perniagaan GISB di Bandar Country Homes, Rawang, melibatkan pelbagai premis perniagaan dan lima rumah teres.
  • Pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan struktur binaan haram dan menyita premis perniagaan tidak berlesen. 19 individu, termasuk ketua pegawai eksekutif GISB, telah ditahan sebelumnya.
  • Polis telah membuka 10 kertas siasatan, membekukan 96 akaun bank GISB, dan menyelamatkan 402 kanak-kanak yang didera dan dieksploitasi dalam operasi Ops Global.

Kesemua mereka dibawa menaiki kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalani proses dokumentasi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, sejurus operasi berakhir.
Operasi yang bermula jam 6.30 pagi itu turut membabitkan Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
[TERKINI] Markas GISB di Rawang diserbu PDRM
Beberapa lot premis perniagaan seperti kedai dobi, kedai pencetakan, pusat rawatan dan klinik, hotel, bakeri, pusat khidmat media, butik, galeri, restoran dimiliki GISB diperiksa dalam serbuan tersebut.
Lima buah rumah teres dua tingkat di Bandar Tasik Puteri, dekat sini, yang didiami pengikut GISB turut diperiksa namun ia didapati kosong.
Pihak MPS turut merobohkan beberapa struktur binaan haram selain menyita premis-premis perniagaan dimiliki GISB yang didapati tidak berlesen.
Khamis lalu, 19 individu, termasuk ketua pegawai eksekutif GISB, dan ahli keluarganya ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kira-kira jam 5.40 pagi susulan serbuan ke atas empat unit kediaman di Jalan Imbi.
Dua belas lelaki dan tujuh wanita itu direman hingga Rabu (25 Sept).
Setakat ini, polis telah merekodkan keterangan 740 individu dalam siasatan ke atas GISB.
Sebanyak 10 kertas siasatan telah dibuka, manakala 96 akaun bank melibatkan GISB dengan dana berjumlah RM581,552 telah dibekukan.
Pada 11 Sept lepas, polis menyelamatkan 392 kanak-kanak dan remaja berumur antara satu dan 17 tahun, dari 20 rumah jagaan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam operasi yang dinamakan Ops Global.
Hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu didera dan dieksploitasi secara seksual.
Seramai 171 suspek berusia antara 17 hingga 64 tahun ditahan termasuk seorang guru dan penjaga asrama.
#GISB #Global Ikhwan #serbuan di pusat perniagaan #buka kertas siasatan #terkini
;