Pusat perlindungan haiwan terjejas banjir, SSPCA mohon bantuan orang ramai

Astro Awani
Januari 13, 2021 13:12 MYT
SSPCA ketika ini merupakan pusat perlindungan bagi 400 ekor anjing dan kucing, jadi bantuan orang ramai amat diperlukan. - Foto Facebook/SSPCA
KUALA LUMPUR: Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) memohon bantuan orang ramai selepas pusat perlindungan kesemua haiwan di bawah persatuan itu di Jalan Penrissen, Kuching dilanda banjir malam Selasa.
Jenis bantuan yang diperlukan termasuk surat khabar lama, makanan haiwan dan bantuan kewangan.
Memetik portal Borneo Post, Pengerusinya Datin Donna Drury-Wee berkata, paras air banjir di penempatan tersebut boleh mencecah ke paras pinggang.
“Setakat ini tiga ekor anjing dan seekor anak kucing dilaporkan lemas susulan daripada banjir tersebut.
“SSPCA ketika ini merupakan pusat perlindungan bagi 400 ekor anjing dan kucing, jadi bantuan orang ramai amat diperlukan,” katanya.
Tambahnya bantuan seperti surat khabar lama dan makanan boleh dihantar ke stesen minyak Shell di Jalan Ban Hock, Kuching bermula hari ini.
Manakala bantuan kewangan boleh disalurkan terus ke nombor akaun CIMB SSPCA di 8005274525.
#SSPCA dilanda banjir #SSPCA Kuching #pusat perlindungan haiwan #bantauan perlindungan haiwan #situasi banjir di Sarawak #banjir di Kuching
;