Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Keluarga Malaysia ditubuh di UPSI
Abd Razak Mohd Ali
Disember 8, 2021 12:51 MYT
Disember 8, 2021 12:51 MYT
TANJUNG MALIM: Kerajaan akan menubuhkan Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Keluarga Malaysia bagi menerajui penyelidikan dan mempromosikan konsep keluarga Malaysia.
Sesuai dengan jolokan sebagai institusi ulung yang membawa perubahan dalam pengembangan pendidikan, pusat itu akan ditempatkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan penubuhan pusat itu berharap,ia berupaya menginstitusikan ‘Keluarga Malaysia’ dengan menjadi hab penyelidikan, pendidikan, latihan dan penyebaran ilmu, dalam kalangan warga Malaysia.
“Saya sangat optimis, dengan kreativiti, inovasi serta kolaborasi strategik yang melibatkan pelbagai pihak, pusat ini dapat memainkan peranan yang signifikan dalam meningkat, mempromosi dan menyebarluaskan lagi konsep serta usaha membudayakan nilai-nilai pengkayaan Keluarga Malaysia,” katanya.
Beliau berucap ketika melancarkan Keluarga Malaysia @ IPT di Dewan Canselor UPSI, Proton City, Tanjung Malim pada pagi Rabu.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Menurut Perdana Menteri pelancaran Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia pada 28 Oktober 2021 yang lalu adalah sangat bertepatan dengan nilai kebersamaan yang menjadi antara tunjang Keluarga Malaysia.
Katanya, penubuhan yayasan itu seiring dengan prinsip kerajaan untuk sentiasa memastikan tiada seorang pun yang tercicir atau terpinggir.
#ismail sabri yaakob
#Keluarga Malaysia
#Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Keluarga Malaysia
#Universiti Pendidikan Sultan Idris