Pusat penamaan calon PRK Sungai Bakap ditutup

Bernama
Jun 22, 2024 10:05 MYT
PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. - Astro AWANI
NIBONG TEBAL: Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap ditutup 10 pagi ini selepas sejam dibuka bermula 9 pagi tadi.
Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Khairulnizam Hashim di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.
Terdahulu, penyokong calon yang bertanding mula berkumpul di sekitar dewan berkenaan seawal 7 pagi dan cuaca baik ketika proses penamaan berlangsung.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK kawasan itu, manakala pengundian awal pada 2 Julai.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon bertanding hari ini hingga 11.59 malam 5 Julai depan.
-- BERNAMA
#PRK Sungai Bakap #pusat penamaan calon #tutup #Khairulnizam Hashim
;