Pusat penamaan calon kecoh seketika
Sinar Harian
Julai 21, 2018 11:17 MYT
Julai 21, 2018 11:17 MYT
Berlaku sedikit kekecohan di perkarangan pusat penamaan calon Pilihanraya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis, di Dewan Tanjung (MBSA) Seksyen 19,di sini apabila penyokong PH tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa membenarkan penyokong BN berada di hadapan pusat penamaan calon itu iaitu di luar kawasan had ditetapkan.
Penyokong BN pada awalnya mengiringi calon, Datuk Lokman Noor Adam, ke luar pagar dewan berkenaan, bagaimanapun tidak berganjak selepas itu.
Situasi berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong PH kerana menyifatkan wujud 'double standard'.
Keberadaan penyokong BN di luar pagar itu juga telah menghalang penglihatan penyokong PH yang berada dikedudukan mengadap pintu masuk dewan dan pentas pengumuman.
Sekurang-kurangnya tiga penyokong PH bersuara meminta perhatian pihak petugas agar menghalau penyokong BN ke kawasan had ditetapkan.
Keadaan bagaimanapun terkawal dengan campur tangan petugas.