Pusat Pemindahan Sisa Pepejal Shah Alam akan kembali beroperasi - KPKT

Afza Fahmidah
Julai 26, 2017 18:35 MYT
Menteri KPKT Tan Sri Noh Omar berkata Pusat Pemindahan Sisa Pepejal di Seksyen 21, Shah Alam akan dibuka semula Isnin depan. Pusat pemindahan itu sebelum ini ditutup selama hampir tiga minggu selepas kontrak pengurusan kerajaan negeri Selangor tamat.
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membuka semula Pusat Pemindahan Sisa Pepejal di Seksyen 21, Shah Alam Isnin depan.
Menteri KPKT Tan Sri Noh Omar berkata, pusat itu diambil alih sepenuhnya oleh KPKT selepas injuksi oleh kontraktor dan kerajaan negeri ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Sebaik memperoleh kunci ke tapak berkenaan, KPKT akan membuat tinjauan kerosakan terlebih dahulu.
“Tidak ada laporan, kawasan tidak terurus dan kurang memuaskan, kemudahan seperti treler dan selo juga ada yang hilang,” ujarnya.
Pusat pemindahan itu sebelum ini ditutup selama hampir tiga minggu selepas kontrak pengurusan kerajaan negeri Selangor tamat 22 Julai lalu.
Kontrak berkenaan ditamatkan kerana kerajaan negeri tidak memenuhi syarat-syarat kontrak termasuk tidak menandatangani Akta 672.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan sudah mengeluarkan modal, membina tapak tersebut dan meminta kerajaan negeri supaya tanah itu diserahkan kembali.
Tujuan kerajaan persekutuan adalah untuk membantu negeri Selangor mengatasi masalah sampah, namun apabila kerajaan negeri sudah bertukar, mereka tidak bersetuju untuk menyerahkan kembali tapak tersebut, jelasnya lagi.
Kerajaan negeri telah membuat injuksi interim di mahkamah dan meminta agar operasi mereka di pusat pemindahan itu diteruskan sebaik sahaja menerima surat penamatan kontrak.
Walau bagaimanapun, pada 2 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menolak permohonan mereka untuk meneruskan operasi.
Tegas Tan Sri Noh, tindakan kerajaan negeri Selangor yang kebudak-budakan akan merugikan rakyatnya sendiri.
“Tindakan mereka (kerajaan negeri) akan menyebabkan masalah sampah lebih rumit, kekurangan kutipan sampah juga akan berlaku dan kawasan pelupusan sampah haram akan bertambah,” jelasnya.
Menurutnya juga, jumlah kes penyakit denggi dan kencing tikus yang tertinggi di Malaysia dicatatkan di Selangor, dan hal ini berpunca daripada sistem pengurusan sampah yang lemah.
Tan Sri Noh menegaskan bahawa rakyat Selangor perlu mengambil iktibar dan menilai kerajaan yang memerintah agar tidak berlaku sebarang percanggahan keputusan demi kesejahteraan dan kepentingan rakyat sendiri.
Kos membaiki Pusat Pemindahan Sisa Pepejal itu menelan belanja hampir RM20 juta.
Tan Sri Noh turut menyeru agar kerajaan negeri Selangor mengetepikan hal politik dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Beliau ditemui selepas meninjau pusat berkenaan di Shah Alam hari ini.
#kerajaan negeri #kerajaan Persekutuan #mahkamah #pembukaan #politik #pusat pemindahan sisa pepejal #Selangor #shah alam #Tan Sri Noh Omar
;