Pusat pemindahan sampah Taman Beringin dibuka semula Sabtu - Menteri

Bernama
Disember 22, 2013 07:00 MYT
Pusat pemindahan sisa pepejal di Taman Beringin, Jinjang yang ditutup sementara kerana kerosakan mesin pemampat, dijangka beroperasi semula Sabtu depan.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti kontraktor mengangkut sampah yang bertanggungjawab melonggokkan sisa pepejal di bahu Jalan Lingkaran Tengah 2 (MMR2) berhampiran Kepong kelmarin.
Mereka bukan sahaja tidak akan dibayar tetapi juga berdepan tindakan undang-undang dengan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara enam bulan sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Dalam kejadian pagi semalam, kontraktor yang memungut sampah terbabit bertindak melonggokkan bertan-tan sisa pepejal di bahu jalan MRR2 sehingga menyebabkan kesesakan yang teruk selain menimbulkan bau busuk di situ.
Mereka dilapor berbuat demikian kerana tiada pilihan selepas tidak dimaklumkan lebih awal akan penutupan pusat pemindahan sampah terbabit.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPA) telah menggerakkan pelan kontigensi untuk menghadapi kemungkinan berlaku gangguan pungutan sampah.
Ini termasuk melakukan rondaan di semua kawasan operasi dengan memastikan tiada kutipan tertinggal dan menggerakkan pemantauan berkala di Kuala Lumpur dan kawasan berdekatan tapak pemindahan, katanya.
Selain itu, usaha akan dibuat untuk menghalang pihak yang cuba membuang sampah di tepi MRR2 dan mengenakan tindakan penguatkuasaan serta memanggil anggota penguatkuasaan tambahan dari Pahang dan Negeri Sembilan untuk bertugas di Lembah Klang.
Beliau berkata tindakan lain ialah melaporkan keadaan terkini setiap sejam untuk makluman semua pihak dan menyelaraskan kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan agensi-agensi di bawah kementerian.
#kepong #longgokan sampah #mrr2 #sampah
;