Pusat pemindahan di Setiu ditutup, mangsa berkurangan kepada 1,372 orang
Bernama
Januari 7, 2017 14:22 MYT
Januari 7, 2017 14:22 MYT
Pusat pemindahan terakhir di Setiu iaitu di Surau Kampung Nyatoh ditutup sepenuhnya pagi tadi, sekali gus mengurangkan jumlah mangsa banjir kepada 1,372 orang setakat 1 tengah hari ini berbanding 1,473 orang pagi tadi.
Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi aplikasi Infobanjir melaporkan sebanyak 337 keluarga masih ditempatkan di tujuh pusat pemindahan di tiga daerah iaitu di Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.
Di Kuala Terengganu, jumlah mangsa kekal tidak berubah iaitu 1,199 orang daripada 286 keluarga sejak pagi tadi.
Di Dungun pula, 73 mangsa telah pun pulang ke rumah masing-masing menjadikan jumlah terkini 135 orang (39 keluarga) di dua pusat pemindahan iaitu Dewan Sivik Paka dan Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau.
Seramai 38 mangsa daripada 12 keluarga masih berada di pusat pemindahan di SK Pasir Putih, Marang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka tiba di Kuala Terengganu pada pukul 3 petang ini untuk melawat mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan di daerah itu.
-- BERNAMA