Pusat mengundi Pemilu 2024 di Kuala Lumpur terbesar di dunia - Duta Indonesia

Bernama
Februari 11, 2024 22:02 MYT
Pemilu di Malaysia sering mendapat perhatian di Indonesia kerana melibatkan jumlah pemilih luar negara terbesar. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Pusat mengundi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini bagi warga Indonesia di perantauan sempena Pemilihan Umum (Pemilu) 2024 pada Rabu depan (14 Feb) merupakan yang terbesar di dunia, kata Duta Indonesia ke Malaysia Datuk Hermono.
Beliau ketika ditemui pemberita selepas menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat mengundi awal di WTC hari ini berkata kesemua petugas Pemilu sudah bersedia untuk melayani rakyat Indonesia yang berada di Malaysia untuk memberikan hak suara mereka sebagai warganegara.
"Tahun ini (Pemilu kali ini) kami belajar daripada Pemilu sebelum ini (2019) dan meminimalis (mengurangkan) penyalahgunaan surat suara (kertas undi)," katanya.
Sementara itu sumber kedutaan yang ditemui di WTC memberitahu BERNAMA dakwaan terbaharu berlaku penyalahgunaan kertas undi menerusi video yang disebarkan pihak tertentu masih belum dibuktikan dan perkara itu sedang disiasat pihak yang berkenaan.
Kesemua 130 kedutaan Indonesia di luar negara dikatakan turut membuka pusat mengundi bagi rakyat Indonesia di perantauan.
Enam pusat pengundian dibuka di seluruh Malaysia hari ini bagi proses undi awal untuk warga Indonesia di Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih.
Pusat pengundian di WTC Kuala Lumpur melibatkan 222,945 pemilih, Johor Bahru (2,684), Pulau Pinang (5,375), Kota Kinabalu (2,811), Tawau (20,247) dan Kuching (2,988).
Pemilu di Malaysia sering mendapat perhatian di Indonesia kerana melibatkan jumlah pemilih luar negara terbesar.
Berdasarkan laporan sebelum ini bagi Pemilu kali ini, jumlah pemilih berdaftar di Malaysia adalah kira-kira 47.55 peratus daripada keseluruhan 1.75 juta pengundi dalam daftar pemilih luar negeri Indonesia di seluruh dunia.
Kira-kira 240 juta rakyat Indonesia akan meraikan pesta demokrasi dalam Pemilu 2024 pada Rabu depan (14 Feb) ini untuk memilih presiden, naib presiden, ahli Perhimpunan Perundingan Rakyat dan wakil untuk badan perundangan tempatan.
-- BERNAMA
#pesta demokrasi #seluruh dunia #pemilih luar negara #rakyat Indonesia
;