Pusat media Felda Sahabat ditutup sepenuhnya hari ini
Bernama
April 14, 2013 17:14 MYT
April 14, 2013 17:14 MYT
Pusat Media di Felda Sahabat yang dibuka hampir dua bulan berikutan insiden pencerobohan militan dari selatan Filipina ditutup hari ini.
Pusat itu, yang sebelum ini beroperasi 24 jam, memberi kemudahan internet, komputer dan pencetakan kepada lebih 100 wartawan dan jurugambar yang membuat liputan sepanjang Operasi Daulat.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Penerangan Sabah Mohd Kaya Ijjoh berkata pusat media itu ditutup sepenuhnya selepas Operasi Daulat diumum akan berakhir.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Operasi Daulat sejak 5 Mac lepas bagi menangani insiden pencerobohan pengganas dari Filipina di pantai timur Sabah akan berakhir beberapa hari lagi.
Najib berkata operasi kepolisan dan ketenteraan untuk menghapuskan pengganas itu akan diteruskan di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Sementara itu, Pegawai Media Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan Lt Mohd Hafiz Mohamed Sabilan berkata Kementerian Pertahanan masih beroperasi di pusat media itu bagi membantu wartawan yang membuat liputan.
"Sewaktu operasi masih panas ramai media ingin masuk kawasan zon merah tetapi mereka sama sekali tidak dibenarkan menganggu operasi.
"Hanya media tentera yang masuk untuk ambil gambar dan mengedarkannya kepada media," katanya.