Pusat lindungi mangsa pemerdagangan orang perlu diwujudkan
Bernama
Januari 30, 2023 05:45 MYT
Januari 30, 2023 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Berikutan isu pemerdagangan orang semakin serius dan menjadi punca utama kebimbangan di peringkat global, sudah tiba masanya untuk mewujudkan perkhidmatan trauma berpusat bagi menyokong dan melindungi mangsa yang terselamat daripada jenayah kejam itu.
Dengan mengambil kira keperluan khas wanita dan kanak-kanak, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata perlindungan, kaunseling, bantuan perubatan, psikologi dan material perlu disediakan untuk mangsa pemerdagangan orang.
Pengerusi Majlis Antipemerdagangan Orang (TIP) dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) itu berkata keseriusan kes pemerdagangan orang secara amnya merupakan isu utama yang menjadi perhatian dan perbincangan antarabangsa.
"Ia melibatkan pencabulan hak asasi manusia melalui pergerakan rentas sempadan atau domestik bagi tujuan eksploitasi, selain menjadi perniagaan menguntungkan sindiket yang melibatkan sejumlah besar wang yang boleh menghalang pembangunan masyarakat, sama ada dari segi sosial atau ekonomi.
"Oleh itu kita perlu menyediakan perkhidmatan trauma berpusat kepada mangsa yang terselamat bagi menyokong dan melindungi mangsa (pemerdagangan orang)," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pembinaan Kapasiti mengenai Pencegahan dan Perlindungan TIP di sini yang disokong sepenuhnya dan dibiayai oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha, Pejabat Strategik Negara kepada MAPO di bawah KDN, Syuhaida Abdul Wahab Zen.
Sementara itu, Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Brian McFeeters dalam ucapan khasnya pada majlis itu berkata TIP berlaku di seluruh dunia dan mangsa boleh ditemukan di setiap negara termasuk Malaysia dan AS, dengan itu ia memerlukan respons antipemerdagangan yang diselaraskan di semua peringkat.
"Di kedutaan AS, kami menyedari bahawa tindak balas antipemerdagangan yang berkesan memerlukan penyelarasan dan kerjasama dan kami komited sepenuhnya untuk menyokong kerajaan Malaysia dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan untuk menghentikan ancaman ini.
"Kami terus membiayai program dan kempen yang tertumpu pada pencegahan, perlindungan dan pendakwaan kes pemerdagangan orang untuk menyokong dan memajukan usaha antipemerdagangan orang di Malaysia," katanya.
Beliau berkata Januari turut dikenali sebagai Bulan Kesedaran Pemerdagangan Orang.
Seminar tiga hari yang berakhir pada 1 Februari anjuran Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya di sini disediakan untuk menambah baik rangka kerja antipemerdagangan orang dan dasar perlindungan mangsa di Malaysia, selain memudahkan kerjasama dan perkongsian dalam kalangan peserta dan menetapkan hala tuju serta meningkatkan langkah pencegahan dan pembanterasan.
Seminar yang sama akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah dari 20 hingga 22 Februari.
-- BERNAMA
#Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz
#perkhidmatan trauma berpusat
#Majlis Antipemerdagangan Orang
#Antipenyeludupan Migran