Pusat kuarters buruh MRT
Astro Awani
Jun 17, 2013 19:04 MYT
Jun 17, 2013 19:04 MYT
Pusat kuarters buruh atau CLQ yang dibina untuk pekerja pembinaan MRT bakal dijadikan model kediaman contoh untuk sektor pembinaan dalam negara.
Ketua Pegawai Eksekutif, Mass Rapid Transit Corporaton, Datuk Azhar Abdul Hamid yakin CLQ akan menjadi ikutan dalam sektor berkenaan bagi menggantikan rumah kongsi yang didiami pekerja asing.
Azhar berkata, kos pembinaan CLQ di Sungai Buloh, Cochrane , Cheras dan Kajang dianggarkan RM100 juta.
Tambahnya, MRT Corp juga menetapkan peraturan yang perlu dipatuhi setiap pekerja dalam usaha mendisiplinkan mereka dan mengelakkan kejadian jenayah.
Pada masa sama, mereka yang melanggar peraturan berdepan hukuman termasuk dihantar pulang ke negara asal.
Selain kediaman untuk pekerja, CLQ juga menyediakan kemudahan asas lain seperti kiosk, klinik, surau dan kafeteria.
Ia turut dilengkapi tempat rekreasi, sistem keselamatan 24 jam, dan pengangkutan untuk ke tempat kerja.
Azhar sebelum itu menerima lawatan daripada wakil kedutaan dari Kemboja, Nepal, Vietnam dan Pakistan di pusat kuarters buruh di Cheras.