Pusat komuniti pembawa perubahan 'MakersLab' mula dibuka Mei ini
Bernama
April 26, 2022 10:10 MYT
April 26, 2022 10:10 MYT
KUALA LUMPUR: "MakersLab", yang merupakan salah satu inisiatif terkini Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) akan dibuka mulai Mei ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata MakersLab adalah pusat untuk komuniti pembawa perubahan berkumpul, berkongsi buah fikiran serta menjalankan eksperimen bagi meningkatkan penciptaan dan inovasi tempatan.
"MakersLab yang berkeluasan 2,000 kaki (185.8 meter) persegi ini bertempat di MRANTI Park (dahulu dikenali sebagai Taman Teknologi Malaysia) dan merupakan pusat yang bertemakan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).
"Pusat pembelajaran dan pembangunan ini sesuai untuk pembawa perubahan pelbagai peringkat usia agar mereka dapat melahirkan idea dalam satu ruang khusus," katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Silaturrahim Pengarang Media Bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan MRANTI di sini pada Isnin.
Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, Timbalan Ketua Setiausahanya (Pembangunan Teknologi) Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI Dzuleira Abu Bakar.
Dr Adham berkata MakersLab bakal menjadi pemangkin budaya pencipta melalui pendekatan belajar dengan melakukan.
Menerusi program itu, beliau berkata komuniti pembawa perubahan, pelajar dan pencinta inovasi secara amnya akan mempunyai akses yang pantas, mudah dan dengan kos berpatutan dalam membantu proses penyelidikan dan eksperimen mereka.
"Akses ini membolehkan mereka memanfaatkan peralatan, perkakas, ruang dan pengetahuan tersedia untuk menghasilkan prototaip penyelesaian masing-masing dengan kadar yang pantas.
Justeru, ia adalah kemudahan ideal untuk menguji idea berskala kecil dalam persekitaran terkawal, serta 'bermain' dengan perkakasan dan perisian dalam ruang khusus yang dilengkapi dengan sumber dan alatan diperlukan daripada 'sumber terbuka'," katanya.
-- BERNAMA