Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun tawar saringan kesihatan percuma setiap bulan

Bernama
Februari 26, 2023 16:50 MYT
Pembantu Klinik Gomez Medical Services, Rohana Nasir (kanan) membuat saringan kesihatan secara percuma kepada orang ramai di Pusat Khidmat Tambun hari ini. - Foto BERNAMA
IPOH: Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun akan menawarkan saringan kesihatan percuma kepada komuniti setempat pada setiap hujung bulan di kawasan Parlimen berkenaan.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun Mohamad Hairul Amir Sabri berkata program tersebut dianjurkan bagi membantu golongan sasaran iaitu B40 dalam mendapatkan rawatan kesihatan secara percuma.
"Seperti kita tahu, kos perbelanjaan untuk mendapatkan rawatan pemeriksaan adalah tinggi. Dengan adanya program sebegini, kita dapat membantu golongan memerlukan memandangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Tambun) amat mementingkan isu kesihatan, pendidikan dan ekonomi rakyat.
"Ia akan diteruskan ke kawasan kampung pada setiap hujung bulan bagi memberi pendedahan terhadap kesihatan kepada golongan tersebut," katanya kepada Bernama pada program saringan kesihatan di Meru Bestari di sini hari ini.
Program saringan kesihatan percuma oleh Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun hari ini adalah siri kedua selepas di Ulu Kinta bulan lepas.
Seorang warga emas, S.Kuttusamy, 70, berkata dia sanggup menunggang motosikal sejauh 15 kilometer (km) dari Tanjung Rambutan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma.
"Saya teruja dengan program sebegini kerana jika ingin ambil (lakukan pemeriksaan) di luar, saya perlu bayar mahal dan menunggu giliran yang panjang. Di sini selesai dalam masa 10 hingga 15 minit sahaja.
"Saya berterima kasih kepada Ahli Parlimen Tambun (Anwar) kerana buat program sebegini. Saya dapat periksa kesihatan buah pinggang, darah tinggi, elektrokardiogram (ECG) dan macam-macam lagi," katanya.
Eshamzuraiza Shamsuddin, 52, pula amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan oleh penganjur.
"Di sini, semua pemeriksaan kesihatan lengkap seperti ultrabunyi dan ECG... jika diambil di klinik luar, perlu bayar mahal," katanya.
Bagi Kelly Ong, 49, program tersebut memanfaatkan orang ramai terutama dirinya dan suami melakukan pemeriksaan kesihatan tanpa perlu mengeluarkan wang.
-- BERNAMA
#Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun #saringan kesihatan percuma #golongan B40 #Mohamad Hairul Amir Sabri
;