Pusat Kecemerlangan Industri GiatMARA lahir pelatih mahir teknologi motosikal
Bernama
Julai 2, 2024 05:00 MYT
Julai 2, 2024 05:00 MYT
PENDANG: Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) Teknologi Motosikal Modenas dan Kawasaki yang dibangunkan di GiatMARA Pendang, bakal menyediakan pelatih yang berkemahiran tinggi dalam teknologi motosikal berkuasa tinggi bagi memenuhi keperluan industri.
Ketua Pegawai Eksektif GiatMARA Ahmad Hamdi Ibrahim berkata pembangunan pusat itu, hasil kerjasama Modenas dan GiatMARA sejak tahun 2023, susulan perkembangan kepakaran dan teknologi syarikat pengeluar motosikal itu dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.
"Dengan adanya sokongan dan kerjasama pihak industri (Modenas), GiatMARA dapat memastikan latihan yang diberikan kepada para pelatih adalah relevan dan memenuhi kehendak pasaran semasa dan akan datang, sekurang-kurangnya pelatih keluar nanti dapat kerja di bengkel atau pusat servis di bawah Modenas di seluruh negara.
"Dengan itu, pelatih kita akan mendapat gaji yang lebih tinggi dari sijil biasa. Skop kerjasama kita juga luas, selain penempatan pelatih untuk kerjaya kita juga berhasrat untuk meningkatkan ilmu kepada tenaga pengajar melalui program latihan jurulatih (ToT)," katanya selepas Majlis Pelancaran ICoE di Pusat GiatMARA Pendang, di sini pada Selasa.
Turut hadir, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Seri Azhar Abdul Manaf.
Ahmad Hamdi berkata untuk melengkapkan pelatih dengan kemahiran baharu itu, dua buah bengkel motosikal iaitu sebuah bengkel teknologi motosikal berkuasa tinggi Kawasaki dan sebuah bengkel teknologi motosikal Modenas, turut dibina dan dilengkapi pelbagai peralatan.
Beliau berkata bengkel tersebut, menawarkan modul yang khusus kepada teknologi motosikal termasuklah cara penggunaan peralatan Modenas dan Kawasaki, selain membabitkan konsep perintis industri, pembelajaran berasaskan kerja sebenar serta belajar dan mendapat upah.
"Modenas turut menyerahkan tiga buah motosikal berkuasa tinggi, enjin motosikal untuk latihan dan peralatan khas mendiagnos kerosakan untuk kegunaan pelatih selain tenaga pengajar GiatMARA juga diberi latihan khas dengan teknologi terkini," katanya.
Selain itu, Modenas turut menyatakan hasrat untuk melatih dan memberi pendedahan kepada GiatMARA untuk penyelenggaraan motosikal elektrik yang semakin mendapat permintaan dalam kalangan pengguna ketika ini.
"Buat masa ini juruteknik yang mahir dalam kenderaan elektrik (EV) masih tidak ramai dan dengan pendedahan yang akan diberikan Modenas kepada GiatMARA, kami yakin dapat memenuhi keperluan pekerjaan melibatkan bidang itu yang semakin mendapat permintaan.
Kerjasama industri ini tidak terhenti kepada melahirkan mekanik atau juruteknik yang mahir tetapi lebih penting mewujudkan usahawan dalam bidang automotif daripada lepasan GiatMARA, bidang baharu yang akan kita beri perhatian ialah pembaikan dron pertanian," katanya.
-- BERNAMA