Pusat kecantikan tidak boleh sediakan khidmat suntikan botox
Astro Awani
Mac 22, 2017 15:48 MYT
Mac 22, 2017 15:48 MYT
Kementerian Kesihatan memberi amaran kepada pusat atau salon kecantikan supaya tidak menyediakan perkhidmatan suntikan botox kerana produk itu di luar bidang kawalan mereka.
Menterinya, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata prosedur kecantikan itu telah diklasifikasikan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan sebagai sejenis ubat dan penggunaannya perlu dikendalikan pengamal perubatan berdaftar yang terlatih.
Jelasnya, dari sudut perundangan, pusat kecantikan atau salon hanya boleh menjalankan rawatan kecantikan untuk di bahagian luar kulit atau luaran badan, sebaliknya botox adalah sejenis produk yang perlu disuntik ke dalam kulit.
Beliau menjawab soalan Khoo Soo Seang (BN-Tebrau) yang bertanya mengenai langkah pencegahan yang berkesan bagi mengelakkan klinik kecantikan yang berdaftar menawarkan perkhidmatan seumpama itu.