Pusat karaoke tawar khidmat seks di Manjung diserbu
Abd Razak Mohd Ali
April 8, 2019 14:54 MYT
April 8, 2019 14:54 MYT
Sebuah pusat karaoke di sini, yang dipercayai menawarkan khidmat seks dengan bayaran antara RM500 hingga RM600, diserbu dalam operasi bersepadu pada Sabtu dan Ahad.
Pengarah Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak, Kamalludin Ismail berkata operasi itu disertai JIM Negeri Perak, Kastam Diraja Malaysia Negeri Perak, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Tentera Laut DiRaja Malaysia dan Jabatan Agama Islam Negeri Perak.
Menurut beliau, seramai 16 pegawai JIM Cawangan Lumut dan 39 pegawai dari agensi-agensi berkenaan telah terlibat dalam operasi tersebut yang dijalankan bermula jam 10.30 malam dan berakhir pada jam 1.00 pagi.
“Seramai 15 wanita warganegara Vietnam yang berumur antara 19 tahun hingga 32 tahun diperiksa dan ditahan.
“Ketika serbuan dibuat, mereka sedang asyik melayan pelanggan tempatan di bilik karaoke berkenaan,” katanya pada Isnin.
Menurutnya, menyedari kehadiran pihak berkuasa, ada di antara mereka cuba melarikan diri melalui pintu belakang pusat karaoke tersebut.
Bagaimanapun, katanya, hasil kecekapan pegawai operasi telah berjaya menangkis cubaan meloloskan diri wanita-wanita berkenaan.
“Ada di antara wanita berkenaan cedera di lutut akibat terjatuh ketika cubaan melarikan diri sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Beliau berkata, pusat karaoke itu disyaki menawarkan khidmat menemani pelanggan untuk dibawa keluar bagi tujuan seks dengan kadar bayaran dari RM500 hingga RM600.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah.
Katanya, mereka ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Langkap.
#Imigresen Malaysia
#jabatan agama islam
#Kamalludin Ismail
#Kastam Diraja
#khidmat seks
#pusat karaoke