Pusat karaoke di Alor Setar terbakar kali kedua dalam tempoh empat bulan

Adie Sufian Zulkefli
Julai 17, 2022 12:52 MYT
Sebuah pusat karaoke yang terletak di Jalan Putra, Alor Setar, terbakar sekali lagi dalam tempoh empat bulan. - Gambar Astro AWANI
ALOR SETAR: Selang empat bulan, sebuah pusat karaoke yang terletak di Jalan Putra, di sini, terbakar lagi.
Bagaimanapun, dalam kebakaran yang berlaku sekitar pukul 10.10 pagi ini, kesemua pekerja dan pengunjung sempat keluar menyelamatkan diri.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 10.18 pagi.
Sejurus menerima panggilan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikejarkan ke lokasi kebakaran.
"Sebaik tiba api sedang marak di bahagian dalam dan asap tebal menyelubungi laluan masuk.
“Anggota mengambil masa hampir 30 minit untuk memadam kebakaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kebakaran memusnahkan hampir 70 peratus premis terbabit manakala asap tebal dapat dilihat sejauh satu kilometer.
Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
Dalam kejadian April lalu, tiga pelanggan pusat karaoke itu ditemui maut manakala lapan lagi mangsa terselamat.
Ketiga-tiga mangsa yang maut ditemui lemas terhidu asap tebal di dalam bilik VIP 2.
#pusat karaoke terbakar #pusat karaoke di Alor Setar #terbakar kali kedua #Jalan Putra
;