Pusat judi dalam talian baru enam hari beroperasi diserbu

Sinar Harian
Disember 5, 2022 07:15 MYT
Video tular di media sosial memaparkan sekumpulan individu berada di premis berkenaan. -Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seramai empat individu termasuk seorang wanita ditahan di sebuah premis di Chow Kit di sini yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dan pelacuran pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menahan kesemua individu berusia 32 hingga 42 tahun dalam serbuan tersebut.
"Kita turut merampas komputer riba, modem, kerusi, meja dan wang tunai tunai sebanyak RM727," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Noor Dellhan berkata, hasil siasatan mendapati premis tersebut baru beroperasi sejak enam hari lalu.
"Siasatan lanjut masih dijalankan, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26977099," katanya.
Pada Ahad, tular video berdurasi 45 saat yang memaparkan sekumpulan individu berada di premis berkenaan.
Video tular di media sosial itu turut mendakwa premis yang juga pusat snuker itu melakukan aktiviti judi dalam talian, malah pegawai polis turut didakwa disogok sejumlah wang. -Sinar Harian
#judi dalam talian #Noor Dellhan Yahaya #pelacuran #Chow Kit
;