Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir diarah tutup

Bernama
Ogos 17, 2021 22:39 MYT
Semalam bomba memaklumkan bangunan Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir tidak selamat untuk diduduki, selepas kejadian tanah runtuh di kawasan tebing bangunan itu. - Gambar/ Astro AWANI
GEORGE TOWN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang telah menasihatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), untuk menutup dan tidak menggunakan bangunan Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir, di Balik Pulau, dekat sini yang tebingnya mengalami tanah runtuh semalam, buat sementara waktu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata, ia berikutan bangunan yang terletak bersebelahan tebing yang mengalami tanah runtuh termasuk tiga batu besar menggelongsor di situ, tidak selamat diduduki ketika ini.
"JKR telah maklumkan kepada JHEAIP berhubung perkara itu (tidak selamat) dan meminta untuk tutup serta tidak menggunakannya buat sementara waktu, sehingga kerja-kerja membaiki tebing yang runtuh tersebut selesai dan ia selamat diduduki semula," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam pihak bomba memaklumkan bangunan Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir tidak selamat untuk diduduki, selepas berlaku kejadian tiga batu besar menggelongsor sehingga menyebabkan tanah runtuh di kawasan tebing bangunan itu, selepas hujan lebat lebih sejam di situ.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Balik Pulau Mohd Faris Idris dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung tanah runtuh pada pukul 2.30 petang itu, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut.
BACA: Tanah runtuh berhampiran Pusat Falak Sheikh Tahir
Sementara itu, Zairil berkata JKR akan menggunakan kaedah yang lebih berdaya tahan iaitu 'tieback wall' bagi membaiki cerun di kawasan berkenaan, untuk menjamin keselamatan dan kestabilan tebing yang terlibat dalam insiden tanah runtuh itu.
Katanya kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih tebing yang terlibat dengan kejadian berkenaan juga akan dilantik dalam masa terdekat.
"Kaedah 'stone pitching' yang digunakan sebelum ini tidak cukup kuat untuk memberi perlindungan kepada tebing itu, jadi JKR akan baiki cerun tersebut dengan menggunakan kaedah yang lebih berdaya tahan iaitu 'tieback wall'," katanya.
-- BERNAMA
#tanah runtuh #Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir #Balik Pulau #hujan lebat #diarah tutup #bomba #JKR
;