Pusat hiburan, pelacuran di sebalik kedai cuci kenderaan
Bernama
Oktober 16, 2021 22:52 MYT
Oktober 16, 2021 22:52 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan licik sindiket pelacuran menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan berselindung di sebalik kedai mencuci kenderaan di Kepong, terbongkar apabila diserbu sepasukan anggota Jabatan Imigresen Khamis lepas.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata 16 wanita warga asing terdiri daripada 13 Vietnam dan tiga Thailand berusia 22 hingga 35 tahun ditahan dalam serbuan di dua premis di kawasan itu, manakala tujuh lelaki tempatan yang merupakan pelanggan dan pekerja premis dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.
Beliau berkata satu daripada premis itu didapati menggunakan papan tanda pusat mencuci kenderaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa manakala satu lagi hanya dibuka separuh pintu untuk pelanggan tetap mendapatkan perkhidmatan seks yang beroperasi dari 4 petang hingga 12 tengah malam.
"Hasil pemantauan, premis itu dilihat seperti tiada sebarang aktiviti perniagaan dan kurang dikunjungi, namun apabila masuk ke dalam bangunan premis ini menyajikan pelbagai hiburan serta pelayan pelanggan (GRO)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Dzaimee berkata semua warga asing yang ditahan didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa serta melanggar Akta Imigresen, dan mereka kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
-- BERNAMA