Pusat hiburan ingkar PKP boleh ditarik balik lesen - Polis
Adie Sufian Zulkefli
Jun 9, 2020 05:33 MYT
Jun 9, 2020 05:33 MYT
Padah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan beroperasi tanpa kebenaran, sebuah pusat hiburan di Jalan Putra, di sini, diarah menghentikan perniagaannya serta-merta.
Menyifatkan tindakan pemilik premis itu sebagai berani mencabar kewibawaan polis, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar Supt Mohd Redzuan Salleh berkata, pihaknya akan mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) menarik balik lesen pusat hiburan tersebut.
Ketika serbuan sempena Op COVID pada Isnin, polis turut menahan 15 individu termasuk penjaga pusat hiburan itu kerana melanggar PKPB.
"Dalam satu serbuan yang dijalankan, kita dapati pusat hiburan tersebut beroperasi.
"Kita akan mencadangkan kepada pihak yang mengeluarkan lesen supaya lesen tersebut ditarik balik.
"Kita tidak akan berkompromi dengan perkara ini kerana PKP masih lagi berlangsung," katanya.
Mohd Redzuan ditemui pemberita ketika meninjau penutupan dua sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Alor Setar Utara dan Selatan, malam tadi.
Menurutnya, sepanjang Op COVID sejak 18 Mac lalu, lapan SJR diadakan melibatkan 22 jalan ditutup di sekitar daerah Kota Setar.
Katanya, ia dilakukan bagi menghalang orang ramai masuk ke pusat bandar dalam usaha mengekang penularan COVID-19.
Mohd Redzuan berkata, sepanjang tempoh itu, 540 tangkapan dibuat dan lebih 300 kertas siasatan dibuka.
Pada masa sama, 214 kes dituduh di mahkamah sementara 210 orang dikompaun.
"Walaupun di dalam PKP Pemulihan (PKPP) ketika ini, tindakan masih lagi boleh diambil.
"Jadi, kami mengharapkan masyarakat terus patuh dan terus mengamalkan apa yang telah kita amalkan selama 85 hari," tambahnya.
Menurutnya, kebanyakan kes membabitkan perbuatan ingkar PKP selain kes dadah dan jenayah lain.
Mohd Redzuan turut mengingatkan orang ramai, memasuki fasa PKPP bermula hari ini, sebahagian aktiviti masih tidak dibenarkan seperti spa, pusat hiburan, rumah urut dan beberapa aktiviti sukan yang melibatkan jumlah yang ramai.
Dalam pada itu, Mohd Redzuan turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan orang awam yang bekerjasama menangani wabak COVID-19.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai penutup mulut dan hidung, kerap mencuci tangan dan elak daripada mengunjungi tempat tumpuan awam.
#Alor Setar
#ingkar PKP
#jenayah
#lesen
#mahkamah
#Mohd Redzuan Salleh
#Op Covid
#operasi
#pbt
#perintah kawalan pergerakan
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKP
#PKPB
#PKPP
#polis
#pusat hiburan
#Sekatan Jalan Raya
#serbuan
#siasatan
#SOP