Pusat hiburan digempur, GRO Thailand ditahan
Adie Sufian Zulkefli
Mac 10, 2021 09:32 MYT
Mac 10, 2021 09:32 MYT
ALOR SETAR: Dua wanita warga Thailand yang bekerja sebagai pelayan khidmat pelanggan (GRO) ditahan pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di sebuah premis hiburan di Bandaraya Alor Setar.
Dalam operasi yang bermula jam 12 tengah malam hingga 5 pagi tadi, dua wanita berusia 25 dan 31 tahun itu ditahan ketika sedang asyik berhibur dengan dua lelaki tempatan tanpa menyedari kehadiran penguatkuasa.
Pengarah JIM Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, hasil siasatan juga mendapati dua wanita Thailand yang ditahan itu tidak mengambil peluang yang diberikan oleh kerajaan untuk pulang ke negara asal mereka.
Malah katanya, lelaki tempatan itu pula sanggup menempah bilik dengan bayaran RM700 dengan menjadikan GRO terbabit sebagai peneman.
"Serbuan itu adalah antara operasi yang dilakukan dalam Ops Gegar dan Ops Pintu di Alor Setar.
"Hasil pemeriksaan juga mendapati, premis hiburan di bandar raya ini beroperasi seawal jam 1 pagi dan dibuka atas permintaan pelanggan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zuhair berkata, premis terbabit yang dimiliki warga tempatan itu masih lagi dibuka dengan tujuan berhibur malah turut meletakkan bayaran yang lebih tinggi pada waktu tertentu.
Beliau berkata, bayaran lebih tinggi itu dikenakan berikutan permintaan ketika musim Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) ketika ini.
"JIM Kedah akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan pemilik premis dan pemilik lesen perniagaan dan boleh disabitkan atas kesalahan di bawah Seksyen 55B,Seksyen 55E dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Zuhair berkata, operasi itu disertai seramai 15 pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JIM Kedah yang diketuai Mohamad Rizal Ramli.
Dalam operasi yang dilakukan itu, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 30 warga asing pelbagai negara dan daripada jumlah itu, empat daripadanya ditahan untuk siasatan.
Beliau berkata, seorang daripadanya adalah wanita warga Indonesia dan dua wanita serta seorang lelaki Thailand.
"Kesemua mereka berumur antara 25 hingga 52 tahun dan siasatan awal mendapati mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu tinggal lebih masa.
"Kesemua mereka ditahan dilokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Belantik, Sik," katanya.
Lelaki tempatan turut dikenakan kompaun RM1,000 di bawah Akta 342, kesalahan melanggar SOP dan jika dibawa ke mahkamah, hukumannya RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.