Pusat harus segera umum pakej bantuan khas - Jagdeep
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 29, 2021 15:00 MYT
Mei 29, 2021 15:00 MYT
GEORGE TOWN: Kerajaan Pusat perlu segera mengumumkan pakej bantuan khas kepada rakyat susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, pengumuman itu penting berikutan sekatan kali ini akan memberi kesan lebih mendalam kepada rakyat berbanding ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) 1.0 lalu.
Menurut beliau, pihaknya berharap kerajaan Pusat memberikan peruntukan sewajarnya kepada semua negeri untuk membolehkan kerajaan negeri membantu golongan yang memerlukan.
“Yang penting (sekarang) kita hendak pelihara kesihatan kita tapi dari segi ekonomi sekiranya keputusan ini dibuat saya minta kementerian, Perdana Menteri sendiri pastikan ada bantuan dari segi ekonomi kepada negeri Pulau Pinang dan semua negeri lain di Malaysia.
“Saya harap itu dapat dipertimbangkan dan saya harap dapat tahu secepat mungkin apakah pakej yang dapat diberikan,” kata beliau.
Jagdeep berkata demikian selepas mengadakan pemantauan dan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Awam Jalan Kuantan, di sini pada Sabtu.
Menurut Jagdeep, ketika pelaksanaan PKP 1.0 tahun lalu, Pulau Pinang menerima peruntukan sebanyak RM130 juta daripada kerajaan Pusat bagi disalurkan kepada rakyat negeri tersebut.
Sehubungan itu, beliau berharap jumlah peruntukan akan dipertimbangkan kepada Pulau Pinang tidak kurang daripada jumlah tersebut untuk membantu rakyat dalam tempoh pelaksanaan sekatan kali ini.
“Kita alu-alukan (sekatan pergerakan penuh), saya tiada masalah. Pada pendapat saya yang penting apabila berlaku lockdown kita akan lihat ada satu kesan yang serius terhadap ekonomi kita kerana semua tak boleh berniaga.
“Semua sektor akan tertutup selain sektor makanan asas (dan) essential services. Itu bermaksud kita berbalik kepada PKP 1.0,” jelas beliau lagi.
Semalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun ini.
Sepanjang tempoh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh MKN.
#sekatan pergerakan penuh
#total lockdown
#kerajaan pusat
#Jagdeep Singh Deo
#perintah kawalan pergerakan
#Pakej Bantuan Khas