Pusat gelandangan: Perlu ada kejujuran untuk membantu - NGO
Arfa Yunus
Jun 10, 2014 21:10 MYT
Jun 10, 2014 21:10 MYT
Badan bukan kerajaan (NGO) yang mengagihkan makanan saban malam kepada gelandangan menyambut baik cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membina sebuah pusat serbaguna buat golongan itu.
Pengarah Projek Persatuan Penganut Buddha Kechara, Justin Cheah berkata pusat serbaguna itu perlu dibina di sekitar Kompleks Kota Raya iaitu lokasi ‘kegemaran’ gelandangan.
“Kami setuju dengan inisiatif ini kerana ia akan membantu mereka terutama dalam mendapatkan tempat tidur yang bersih.
“Pengagihan makanan juga akan menjadi lebih mudah dengan inisiatif ini tetapi diharap lokasi tidak terlalu jauh kerana golongan gelandangan ini tidak mempunyai kenderaan untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain,” kata Cheah.
Tambahnya, dengan pusat serbaguna ini, NGO yang kerap membantu golongan ini boleh membantu mereka dengan lebih mudah memandangkan mereka akan berkumpul di satu tempat yang sama.
Namun, ada segelintir yang masih ragu-ragu dengan pembinaan pusat serbaguna ini.
Semasa dihubungi Astro AWANI, Pengasas Bersama Reach Out Malaysia, Feeza Nicoll berkata, beliau mahukan perancangan yang lebih komprehensif sebelum menyatakan sokongan kepada inisiatif ini.
“Buat masa ini, kami akan bersikap neutral. Kami akan memberi sokongan dengan cara memberi bimbingan kepada gelandangan untuk membantu diri mereka jika ada perancangan yang bagus oleh DBKL.
“Kejujuran amat penting jika kita mahu membantu mereka. Saya harap tempat ini tidak menjadi seperti Anjung Singgah,” kata Feeza.
Anjung Singgah merupakan sebuah tempat perlindungan yang ditubuhkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membantu serta memberi tempat berteduh kepada golongan gelandangan.
Bertempat di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur, Anjung Singgah menyediakan tempat tidur bagi lelaki dan perempuan tanpa mengenakan sebarang bayaran, namun mereka perlu memenuhi beberapa syarat seperti mencari pekerjaan.
Pada Selasa, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata DBKL akan membina sebuah pusat serbaguna bertujuan memberi tempat tinggal buat gelandangan yang memenuhi persekitaran ibu kota.
Menurut Ahmad Phesal, cadangan tersebut dibincangkan susulan satu mesyuarat bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Sosial, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan beberapa NGO.
Katanya, NGO yang membekalkan makanan kepada gelandangan turut akan ditempatkan di pusat serbaguna tersebut bagi memastikan DBKL dapat menjalankan operasi pembersihan sampah dengan lebih efektif.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa pusat penjagaan kanak-kanak turut akan diwujudkan dalam bangunan tersebut bagi membantu ibu tunggal menjaga anak-anak mereka.
Pada 31 Mei lalu, AWANI745 memberi fokus kepada isu gelandangan yang dilihat tiada kesudahannya hingga kini selain mengadakan sesi perbincangan bagi mencari penyelesaian serta usaha yang dapat dilakukan bagi membantu golongan ini.
Tinjauan Astro AWANI turut mendapati sekitar 1,000 gelandangan menjadikan beberapa lokasi terbuka sekitar Kuala Lumpur sebagai tempat kediaman mereka saban malam.