Pusat dialisis Perkeso di Pulau Pinang hujung tahun ini
Bernama
Mei 4, 2024 20:45 MYT
Mei 4, 2024 20:45 MYT
KEPALA BATAS: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bakal membuka sebuah pusat dialisis di Pulau Pinang menjelang hujung tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata pusat dialisis dengan kos RM2.6 juta itu akan menyediakan khidmat perubatan kepada pencarum yang menghidap penyakit buah pinggang dan mampu memuatkan seramai 144 pesakit setiap hari serta diuruskan sendiri oleh pertubuhan berkenaan.
"Semua (rawatan) percuma untuk pencarum Perkeso dan inilah khidmat yang diberikan malah kami akan terus berusaha untuk berikan yang terbaik kepada pencarum. Ketika ini terdapat 63 panel pusat dialisis di Pulau Pinang," katanya semasa berucap pada Majlis Aidilfitri Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) MADANI di Vision Park di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal serta 100 anak yatim dan 40 ibu tunggal yang diraikan dengan menerima sumbangan hamper.
Sementara itu, Sim berkata pada majlis berkenaan Perkeso turut menyalurkan bayaran kepada 15 penerima dengan nilai keseluruhan RM301,699.64 berserta alatan pemulihan.
Beliau berkata bayaran itu meliputi masing-masing empat penerima Faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK), tiga penerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan masing-masing seorang Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Pencen Penakat serta elaun keuzuran.
-- BERNAMA