Pusat Darah Negara sedia koordinasi, mobilisasi bekalan darah ke negeri terjejas banjir
Bernama
Disember 27, 2023 04:00 MYT
Disember 27, 2023 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pusat Darah Negara (PDN) bersedia untuk mengkoordinasi serta memobilisasikan bekalan darah negara sedia ada kepada negeri yang terjejas bencana banjir sekiranya bekalan diperlukan di negeri berkenaan.
Pakar Perunding Perubatan Transfusi PDN Dr Zalina Mahmood berkata ia bertepatan dengan satu daripada slogan institusi itu iaitu "Darah Tanpa Sempadan" dengan koordinasi dan mobilisasi darah boleh dilaksanakan merentas negeri di seluruh negara.
"Ia akan diuruskan secara berpusat di PDN kerana beg-beg darah ini memerlukan pembungkusan khas di mana beg-beg darah tersebut perlu dimasukkan ke dalam bekas bersesuaian bersama dengan ais sebelum kita hantar ke negeri yang memerlukan.
PDN mempunyai pengalaman menghantar bantuan stok darah melalui udara semasa banjir besar yang berlaku di Kelantan pada 2014. Dalam keadaan itu, komunikasi dan kolaborasi yang erat antara agensi terlibat adalah sangat penting," katanya kepada Bernama ketika ditemui, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Dr Zalina, berkata pusat-pusat kutipan darah di negeri yang tidak dilanda banjir juga akan memperhebatkan lagi penganjuran serta promosi program derma darah dalam memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan semasa.
Katanya, langkah itu perlu dilaksanakan memandangkan operasi pusat derma darah dan kehadiran penderma akan terjejas di beberapa negeri yang terlibat dengan bencana itu sekali gus memberi kesan kepada stok bekalan darah negeri terbabit.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, negara memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 hingga 2,200 beg darah sehari untuk kegunaan 1,000 pesakit di seluruh negara manakala untuk PDN sendiri memerlukan antara 500 hingga 600 beg sehari.
"Ada beberapa negeri yang berisiko terjejas banjir, jadi kami dalam fasa bersiap sedia antaranya dengan sentiasa memantau stok bekalan darah secara terperinci. Kita akan analisis dari semasa ke semasa dan sekiranya stok darah ke arah berkurangan kita akan aktifkan pelan strategik sedia ada.
"Kita akan memperhebatkan promosi di media sosial PDN dan pusat-pusat kutipan darah negeri selain akan berkolaborasi dengan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) serta badan beruniform seperti bomba, tentera dan polis," katanya. - BERNAMA