Pusat beli-belah SACC dinaik taraf bermula suku pertama 2026 - PKNS
Bernama
Julai 27, 2024 05:45 MYT
Julai 27, 2024 05:45 MYT
SHAH ALAM: Pusat beli-belah SACC (Shah Alam City Centre) akan dinaik taraf kepada pusat pameran bertaraf dunia bermula suku pertama 2026 sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan Projek SA Sentral di Seksyen 14, di sini.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam kenyataan memaklumkan projek SA Sentral yang akan dibangunkan secara berfasa itu dijangka mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan.
Menurut PKNS projek pembangunan itu akan melibatkan beberapa plot di kawasan Seksyen 14 termasuk Pusat Konvensyen SACC serta penaiktarafan dan penjenamaan semula Plaza Alam Sentral, dan Plaza Perangsang.
"PKNS merancang untuk membangunkan SA Sentral bagi tujuan peremajaan pusat bandar Seksyen 14, Shah Alam sebagai daerah pusat perniagaan (CBD) di atas tanah seluas 64.7 hektar.
"SA Sentral akan menampilkan pembangunan kediaman, komersial, pejabat, taman rekreasi, perpustakaan, stesen Transit Aliran Ringan (LRT) serta pusat pameran antarabangsa tersebut," menurut kenyataan itu.
PKNS dalam kenyataan sama memaklumkan, pembangunan SA Sentral juga melibatkan pembinaan pusat kebudayaan dan pelancongan menerusi projek The Spine yang terletak di pusat bandar Seksyen 14 bagi mewujudkan hab kebudayaan dan kesenian.
The Spine bakal menghubungkan Kompleks PKNS Shah Alam, Pusat Konvensyen Shah Alam, dan juga projek pembangunan yang akan datang seperti pangsapuri kediaman serta hotel.
-- BERNAMA