Purata pendapatan isi rumah meningkat, RM7,901 pada 2019
Astro Awani
Oktober 13, 2020 13:56 MYT
Oktober 13, 2020 13:56 MYT
KUALA LUMPUR: Purata pendapatan isi rumah Malaysia pada nilai benar meningkat lebih tiga kali ganda dari RM2,580 pada tahun 1989 ke RM7,901 pada 2019.
Manakala pendapatan penengah meningkat dari RM1,801 ke RM5,873, menurut laporan terbaru Khazanah Research Institute (KRI), Welfare in Malaysia Across Three Decades.
Menurut laporan itu lagi, pendapatan isi rumah pada tahun 2019 merangkumi 45.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ia merupakan satu peningkatan memberangsangkan, berbanding 35.9 peratus pada tahun 1989. Pertumbuhan pendapatan ini telah menyumbang kepada peningkatan tahap perbelanjaan.
“Corak penggunaan berubah dengan peningkatan perbelanjaan bukan keperluan seperti barangan berkaitan komunikasi, rekreasi dan kebudayaan dan juga makan di luar rumah, menandakan taraf hidup yang lebih baik,” katanya.
Tambahnya, kadar kemiskinan mutlak pula menurun dari 16.5 peratus pada tahun 1989 ke 5.6 peratus pada 2019 walaupun setelah mengambil kira garis kemiskinan baharu.
“Sementara itu, trend jangka panjang jurang pendapatan, yang biasanya diukur dengan pekali Gini, turut menurun dari 0.442 kepada 0.407 dalam tempoh yang sama.
“Pertumbuhan pendapatan Bumiputera lebih tinggi, lantas menyumbang kepada jurang yang lebih kecil antara kaum.
“Pembangunan ekonomi turut meningkatkan purata pendapatan dan penengah di semua negeri sepanjang tiga dekad yang lalu,” ujarnya.
Menurutnya, pencapaian positif itu dapat dicapai walaupun terdapat pelbagai cabaran, termasuklah cabaran yang berada di luar kawalan Malaysia, seperti Krisis Kewangan Asia dan Krisis Kewangan Global.