Purata pendapatan dijangka meningkat tahun ini - DOSM

Bernama
Ogos 5, 2021 14:23 MYT
Negara bergantung kepada usaha untuk mempertingkatkan ekonomi digital dan pembangunan teknologi dalam aktiviti ekonomi dalam jangka masa panjang. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Purata pendapatan dijangka meningkat tahun ini tetapi bergantung kepada corak pemulihan ekonomi negara, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata corak pemulihan bagi setiap sektor ekonomi negara dijangka tidak sekata dan akan mempengaruhi gaji dan upah.
"Jika kita (negara) berjaya dalam usaha untuk mempertingkatkan ekonomi digital dan pembangunan teknologi dalam aktiviti ekonomi dalam jangka masa panjang, kita amat yakin purata pendapatan yang diukur dari segi gaji dan upah pasti akan meningkat.
"Tetapi ia bergantung bagaimana kita merealisasikannya dalam jangka masa sederhana. Dalam jangka masa pendek, keutamaan yang diberikan adalah kepada pekerja kembali bekerja dalam sektor-sektor perniagaan (yang terjejas)," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan Laporan Sosioekonomi Negeri tahun 2020 secara maya, hari ini.
Mohd Uzir berkata langkah-langkah pembendungan penularan pandemik COVID-19 turut memberi implikasi kepada penerimaan gaji dan upah apabila purata gaji dan upah bulanan yang diterima oleh pekerja warganegara merekodkan kejatuhan 9.0 peratus kepada RM2,933 daripada RM3,224.
Ini dicerminkan oleh penurunan yang dicatatkan oleh semua negeri pada 2020, dengan Johor mencatatkan penyusutan 13.0 peratus, Terengganu (-12.4 peratus), Kuala Lumpur (-12.3 peratus), Labuan (-11.5 peratus), Sarawak (-11.0 peratus) dan Selangor (-10.6 peratus).
Bagaimanapun, dari perspektif nilai, purata gaji dan upah bulanan di Putrajaya merupakan yang tertinggi dengan RM4,497.
"Selain itu, antara negeri yang melepasi paras purata gaji dan upah nasional (RM2,933) adalah Kuala Lumpur (RM3,823), Selangor (RM3,480), Negeri Sembilan (RM3,013) dan Labuan (RM2,942)," kata Mohd Uzir.
Dari aspek pasaran buruh, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) di peringkat nasional turun 0.3 mata peratus kepada 68.4 peratus pada 2020 berbanding 68.7 peratus pada tahun sebelumnya.
KPTB tertinggi dicatatkan di Selangor dengan 75.4 peratus, diikuti Putrajaya (72.5 peratus), Kuala Lumpur (72.1 peratus) dan Johor (70.4 peratus) manakala KPTB terendah pula direkodkan di Kelantan dengan 57.9 peratus.
Sementara itu, kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 4.5 peratus pada 2020, iaitu kadar tertinggi dicatatkan setelah hampir tiga dekad.
Mohd Uzir berkata krisis kesihatan yang melanda negara berikutan penularan COVID-19 meninggalkan impak yang mendalam kepada landskap sosioekonomi negara dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia secara keseluruhannya menguncup pada kadar 5.6 peratus pada 2020, iaitu kedudukan kedua terendah selepas 1998 yang merekodkan penyusutan 7.4 peratus.
Selaras dengan penguncupan ekonomi negara dan aktiviti perdagangan di seluruh dunia, jumlah dagangan Malaysia pada 2020 menyusut 3.6 peratus kepada RM1.78 trilion berbanding RM1.84 trilion pada 2019.
Sementara itu, sekatan perjalanan merentas negeri dan daerah telah menjejaskan industri pelancongan domestik dalam negara dengan perbelanjaan pelancongan domestik di Malaysia pada 2020 merosot 60.8 peratus dengan nilai RM40.4 bilion berbanding RM103.2 billion pada 2019.
Ketibaan pelawat domestik turut merekodkan penurunan 44.9 peratus iaitu kepada 131.7 juta pelawat berbanding 239.1 juta pelawat pada tahun sebelumnya.
#DoSM #pendapatan #Mohd Uzir Mahidin #ekonomi #pemulihan #Malaysia
;