Pura-pura pandu uji sebelum larikan pacuan empat roda
Adie Sufian Zulkefli
Januari 18, 2023 17:26 MYT
Januari 18, 2023 17:26 MYT
ALOR SETAR: Tidak sampai tiga jam selepas melarikan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux dari sebuah kedai menjual kenderaan terpakai di Jalan Langgar, di sini, seorang lelaki berjaya ditahan polis, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi, suspek mengunjungi kedai berkenaan dan mengatakan mahu membeli kenderaan itu.
"Pemilik kedai yang tidak mengesyaki apa-apa membenarkan suspek memandu uji kenderaan terbabit.
“Bagaimanapun, pemilik kedai mula curiga apabila menunggu lama dan suspek tidak kembali dengan kenderaan berkenaan. Dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kota Setar.
"Tidak lama selepas itu polis berjaya mengesan suspek sedang memandu kenderaan terbabit di persimpangan lampu isyarat di Pendang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ahmad Shukri berkata, suspek cuba melarikan diri namun berjaya dipintas dengan kenderaan polis.
Katanya, suspek berusia 43 tahun bersama kenderaan telah dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.