Pura-pura meratap kemudian pengsan, taktik wanita elak dicekup
Noraniza Kamsani
Mac 15, 2018 22:55 MYT
Mac 15, 2018 22:55 MYT
Taktik seorang wanita warga Myanmar berpura-pura pengsan bagi mengelak dari dicekup penguatkuasa gagal apabila dia ditahan bersama 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen negeri di sekitar bandar ini di sini, hari ini.
Wanita berusia 20 tahun itu cuba meraih simpati anggota penguatkuasa berkenaan apabila dia tetap diarahkan untuk menyerahkan dokumen pengenalan dirinya serta permit kerja untuk diperiksa dalam Ops Mega 2.0 Bersepadu itu.
Menurut Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasa Imigresen Pahang, Mohd Norazam Abdullah, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi tadi ketika pihaknya melakukan pemeriksaan dan wanita berkenaan tiba-tiba rebah serta tidak sedarkan diri.
"Selepas ditenangkan oleh pegawai imigresen, wanita terbabit akhirnya bangun dan mengakui tidak mempunyai sebarang pas atau permit yang sah. Kita kemudian menahan wanita terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu Mohd Norazam berkata, dalam operasi bermula jam 10.15 pagi hingga 12.20 tengah hari itu, pihaknya menahan seramai 26 warga asing berusia antara 20 hingga 45 tahun atas pelbagai kesalahan imigresen.
"Operasi ini membabitkan seramai 15 anggota imigresen, 10 kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan lapan anggota daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," katanya.
Beliau berkata, operasi itu juga bertujuan menangani masalah kebanjiran warga asing selain mengelak premis di sekitar bandar dimonopoli warga asing.
"Sasaran adalah majikan atau pemilik perniagaan yang menyewakan premis untuk diusahakan oleh warga asing di sekitar Jalan Bukit Ubi, Jalan Pasar dan Centre Point," katanya.