Pura-pura histeria elak ditahan
Sinar Harian
Januari 6, 2024 09:00 MYT
Januari 6, 2024 09:00 MYT
KLANG: 'Lakonan' seorang wanita warga China konon mengalami histeria semasa ditangkap ketika serbuan polis di sebuah kilang kitar semula barang elektronik di Kampung Jalan Kebun, di sini pada Jumaat, hanya sia-sia.
Ketika serbuan, wanita yang berada di bilik pejabat dilihat gelabah sebelum berpura hendak pengsan dan muntah.
Sinar Harian yang menyertai operasi Op Bersepadu Pintas itu mendapati wanita terbabit bagaimanapun kelihatan tenang selepas beberapa minit sebelum proses dokumentasi dijalankan.
Lebih menghairankan, wanita yang dipercayai berjawatan tinggi di kilang terbabit turut mendakwa berada di lokasi itu untuk melancong.
Itu antara situasi yang berlaku semasa serbuan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Selain itu, lebih mengejutkan, pekerja asing yang digajikan hanya diberi tempat tinggal 'cukup syarat', kotor dan sempit.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi pada jam 5 petang itu bertindak menahan 101 orang termasuk lima wanita.
"Seorang tangkapan membabitkan lelaki tempatan berusia 60 tahun iaitu pemilik tanah yang menyewakan kepada warga China untuk operasi kilang terbabit.
"Tangkapan lain berusia 18 hingga 39 tahun pula terdiri daripada warga China (19), Myanmar (10), Bangladesh (61), Nepal (2) dan Kemboja (8)," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, seorang pekerja iaitu lelaki warga Myanmar berusia 16 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi berjaya diselamatkan.
Tambahnya, siasatan polis mendapati kilang itu tidak mempunyai lesen perniagaan selain dipercayai kira-kira setahun setengah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Atipsom 2007 selain Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c), Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(c) akta sama. - Sinar Harian