Pupuk budaya inovasi pada usia muda
Tan Su Lin
November 12, 2013 14:19 MYT
November 12, 2013 14:19 MYT
Golongan muda membuktikan bahawa mereka berupaya memikirkan idea inovasi terbaru menerusi program inovasi "School Club Innovation Toolkit" yang turut diadakan serentak pada Forum Inovasi Dunia Kuala Lumpur (WIF-KL) 2013.
Dengan kerjasama pihak Yayasan Inovasi Malaysia yang membekalkan kit dan bahan kepada pelajar, mereka berpeluang mencipta pelbagai inovasi baru.
Antaranya murid-murid tahun 4 dan 5 dari 14 buah sekolah yang terlibat dalam program ini berjaya mengeluarkan idea yang mungkin belum pernah difikirkan selama ini.
Salah seorang peserta dari SMK Ibrahim, Sazren Mohamad percaya "Wipe Out Waste Machine" itu dapat mengurangkan pembaziran dan pada masa sama kitar semula untuk menjaga alam sekitar.
"Apa yang kita lakukan adalah mencipta satu mesin yang mengitar semula aluminium sebagai cenderahati kerana rakyat Malaysia sukakan hadiah percuma dan bila kita mengitar semula ia boleh memastikan kelestarian alam sekitar yang lebih terjamin."
Seorang lagi pelajar, Amir Iskandar dari melaka prihatin dengan orang buta mencipta inovasi alat bantuan penglihatan.
"Nama idea yang kami cipta ialah "Sight Assist" yang beri maksud alat bantu pemandangan. Alat ini kami ingin tukar tongkat kepada spek mata dan jam tangan. Diaorang prihatin orang buta sebab kesian dorang bawak tongkat ke sana ke mari."
Pelajar yang terlibat dikehendaki menyampaikan idea inovasi mereka kepada panel hakim dan sekolah dengan inovasi terbaik dipilih sebagai pemenang.
Program ini juga didapati berjaya memupuk minat murid terhadap reka cipta yang berinovasi dan bernilai.
"Ini program yang bagus bagi saya sebab dia galak pelajar dengan semangat kerjasama bekerja nak hasilkan idea yang baru. Dengan program ini pelajar bersemangat cipta satu idea yang lebih baik kepada bahan-bahan sedia ada." kata Yusria Ismail, seorang guru pengiringi pelajar.
Menerusi program ini diharapkan dapat melahirkan tokoh reka cipta negara yang terulung pada suatu hari nanti.