Puntung diberi suntikan eutanasia pagi tadi

Bernama
Jun 4, 2017 20:27 MYT
Puntung sewaktu dalam jagaan di Lahad Datu. - Gambar fail
Puntung, badak Sumatera betina yang menghidap kanser sel skuamus atau kanser kulit, diberi suntikan eutanasia (memberikan ubat untuk mempercepatkan proses kematian bagi menamatkan kesengsaraan) pagi tadi di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) Augustine Tuuga berkata penjaga Puntung, Wilson Kuntil, Hassan Sani dan Samad Gubin telah tidur bersama-sama Puntung dalam padok hutannya, bagi memastikan haiwan itu di bawah pengawasan sepanjang masa.
"Karsinoma itu telah semakin membesar dari segi saiz dan terdapat tanda-tanda jelas Puntung mengalami kesukaran bernafas yang ketara.
"Dalam rundingan dengan penasihat pembiakan badak kami di Institut Penyelidikan Zoologi dan Hidupan Liar Leibniz, Berlin, dan pihak lain, keputusan dibuat untuk menamatkan ketidakselesaannya, dan awalkan tarikh prosedur itu. Sebelum ini kami rancang pada 15 Jun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tuuga berkata dalam usaha mencapai matlamat untuk menyumbang kepada kelangsungan spesiesnya, ovari Puntung dihantar dengan segera ke Institut Agro-Bioteknologi Malaysia, Serdang.
"Pada masa sama, pakar pembiakan Indonesia Prof Arief Boediono datang dari Jakarta, bersedia untuk mendapatkan apa-apa sel telur yang mungkin wujud.
"Jika oosit boleh dikeluarkan dan matang, sperma beku daripada badak jantan Tam akan dicairkan untuk suntikan sperma intrasitoplasma oleh Prof Arief. Kita akan tahu keputusannya dalam beberapa hari lagi," katanya.
Puntung menderita sejak pertengahan Mac lepas apabila bahagian dalam rahangnya bernanah akibat jangkitan, yang tidak akan sembuh walaupun mendapat rawatan.
Badak betina ini menarik perhatian dunia pada April lepas kerana menjalani pembedahan pergigian di bawah kendalian sekumpulan pakar daripada pelbagai negara, di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin.
Puntung adalah satu daripada tiga ekor badak Sumatera di negara ini, dan sekarang hanya tinggal dua.
-- BERNAMA
#badak Sumatera #penyakit #Puntung
;