Punggung kanak-kanak tercucuk besi pagar rumah
Bernama
Jun 5, 2023 00:11 MYT
Jun 5, 2023 00:11 MYT
SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun terpaksa menahan kesakitan kira-kira 20 minit apabila punggungnya tercucuk besi pagar sedalam 15 sentimeter di kediaman keluarganya di Taman Seri, Sungai Besar, Sabak Bernam, petang Isnin.
Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.25 petang.
"Seramai 10 anggota bomba termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar telah ke lokasi kejadian. Setibanya di lokasi kejadian, kanak-kanak itu masih berada di pagar besi rumah berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
"Anggota bomba segera bertindak bagi mengangkat kanak-kanak berkenaan sebelum dibawa ambulans ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Menurut Wan Md Razali, ketika kejadian ibu mangsa tiada di rumah dan kejadian itu hanya disedari oleh jiran.
"Menurut jiran, mangsa sering dilihat bermain di atas pagar tersebut," katanya.
-- BERNAMA