Puncak Gunung Kinabalu kawasan paling sejuk di Malaysia - Jabatan Meteorologi

Bernama
Februari 3, 2017 22:08 MYT
Puncak Gunung Kinabalu merupakan tempat paling sejuk di Malaysia, kata Jabatan Meteorologi Malaysia. - Gambar fail
Tarikan pelancongan di Sabah, puncak Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4,095 meter dari aras laut merupakan tempat paling sejuk di Malaysia, kata Jabatan Meteorologi Malaysia.
Ketua Pengarahnya Datuk Che Gayah Ismail berkata suhu Gunung Kinabalu yang merupakan puncak tertinggi di Malaysia dan di Asia Tenggara boleh turun sehingga dua darjah selsius.
"Secara amnya suhu akan turun dengan kadar 6.4 darjah selsius untuk setiap kilometer ketinggian. Justeru, tempat paling sejuk di Malaysia adalah puncak Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4,095 meter dari paras laut di mana suhunya boleh turun sehingga dua darjah selsius," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya jabatan itu tidak mempunyai stesen meteorologi di kawasan puncak gunung, kecuali stesen di Laban Rata iaitu tempat persinggahan sebelum ke puncak gunung tersebut.
Selain puncak Gunung Kinabalu, Che Gayah berkata berdasarkan rekod daripada 44 stesen utama di seluruh negara, pusat peranginan terkemuka Cameron Highlands juga merupakan antara kawasan paling sejuk di Malaysia dengan suhu terendah 16 darjah selsius pada Januari lepas.
Beliau berkata suhu rendah yang direkodkan di Cameron Highlands disebabkan Stesen Cameron Highlands berada pada paras tinggi iaitu 1,471.6 meter dari aras laut.
"Cameron Highlands juga pernah melakar sejarah sebagai kawasan yang mencatat suhu paling rendah dalam negara iaitu 7.8 darjah selsius pada Februari 1978 berbanding 19 stesen utama lain yang ada pada ketika itu," katanya.
-- BERNAMA
#Cameron Highlands #Gunung Kinabalu #Jabatan Meteorologi Malaysia
;