Punca kematian jururawat akibat luka tikaman hingga ke hati, pembuluh darah

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 2, 2023 19:48 MYT
Bedah siasat mayat Munirah dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar. - Gambar/ Astro AWANI
ARAU: Bedah siasat jururawat yang maut dipercayai ditikam suaminya di rumah mereka di Padang Nyu, Arau pada Sabtu mendapati punca kematiannya disebabkan luka tikaman hingga ke hati dan bahagian dalaman pembuluh darah.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Mohd Rodi berkata, bedah siasat mangsa dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
"Berdasarkan keputusan autopsi yang dibuat di HSB, mangsa, Munirah Abu Bakar, 31, maut akibat mengalami luka tikaman hingga ke hati serta dalaman pembuluh darah (vena kava) atau 'stab wounds to the liver and inferior vena cava'.
"Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan penuh hasil proses bedah siasat tersebut," katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.
Mengulas lanjut, Ahmad Mohsin berkata, belum ada keperluan untuk pihaknya melakukan penilaian psikiatri terhadap suspek yang merupakan suami mangsa.
Menurutnya, hasil ujian air kencing sebelum ini mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine ketika kejadian berlaku.
"Pengaruh dadah bukanlah dikatakan penyebab kepada kejadian, namun semasa saringan ujian air kencing suspek dilakukan, kita mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine," ujarnya.
Pada Ahad, Mahkamah Majistret Kangar telah membenarkan reman ke atas suspek sehingga 7 Oktober hadapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
#tikam isteri #Munirah #punca kematian #jururawat maut ditikam
;