PUM seru pemimpin politik hormati titah Raja-Raja Melayu

Astro Awani
Ogos 12, 2021 07:16 MYT
ABDUL HALIM: Hormatilah ruang yang diberikan di mana Perdana Menteri yang begitu terbuka menyatakan untuk mendapatkan keabsahan sokongan terhadapnya ditentukan di Parlimen. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyeru rakyat Malaysia terutama pemimpin-pemimpin parti politik supaya menghormati titah Raja-Raja Melayu demi kestabilan pentadbiran negara.
Yang Dipertua PUM, Datuk Abdul Halim Abdul Kadir berkata, seruan tersebut dibuat setelah pihaknya merujuk kepada beberapa laporan media mengenai titah nasihat sultan negeri-negeri yang memberikan pandangan terhadap keadaan semasa politik di tanah air.
Antaranya adalah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menzahirkan rasa kecewa baginda terhadap pemimpin parti politik yang sentiasa memberikan tekanan untuk merebut kuasa dengan cara yang sedikit sebanyak mengganggu pentadbiran kerajaan.
"Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah juga menzahirkan perkara yang hampir sama di mana sekarang ini bukanlah masa yang sesuai untuk berebut kuasa dan bersengketa sesama sendiri tatkala negara sedang bergelut dengan pandemik COVID-19," katanya dalam satu kenyataan.
Kata Abdul Halim, rakyat sudah bosan dengan gelagat pemimpin politik yang saban hari memikirkan untuk melakukan tindakan bagi mendapatkan kuasa dengan pelbagai cara termasuklah ada yang menarik sokongan kepada perdana menteri dan seumpamanya.
“Perlu diingatkan agar setiap tindakan yang dilakukan mestilah selaras dengan undang-undang yang ada.
“Seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa Perdana Menteri telah secara terbuka menyatakan akan melakukan undi percaya di Parlimen pada bulan September nanti.
"Jadi kenapa perlu untuk mendesak sedangkan komitmen telah dinyatakan dengan jelas?
“Hormatilah ruang yang diberikan di mana Perdana Menteri yang begitu terbuka menyatakan untuk mendapatkan keabsahan sokongan terhadapnya ditentukan di Parlimen,” katanya lagi.
Tambah beliau, seharusnya para pemimpin parti-parti politik ini memikirkan masalah rakyat sebagai perhatian terutama kes-kes kematian yang tidak mengenal usia termasuklah terhadap golongan muda.
#Persatuan Ulama Malaysia #PUM #Sultan Ibrahim #Abdul Halim Abdul Kadir #berebut kuasa #Perdana Menteri #COVID-19 #pandemik #Parlimen
;