Pulau Pinang tuan rumah Kongres IAA
Bernama
Februari 2, 2024 05:45 MYT
Februari 2, 2024 05:45 MYT
GEORGE TOWN: Buat julung kali, Pulau Pinang dipilih menjadi tuan rumah bersama bagi Kongres Dunia Persatuan Pengiklanan Antarabangsa (IAA) ke-45 selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Mac ini.
Bertemakan Brand Recode: Better World Better Life, kongres itu merupakan yang pertama seumpamanya dianjurkan di rantau Asia Tenggara.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kongres berkenaan dijangka menarik lebih 1,000 peserta dari seluruh dunia, sekali gus mampu menjana impak ekonomi bernilai RM5.836 juta kepada negeri ini.
"Selaku negeri yang terkenal dengan julukan 'Lembah Silikon Timur', pemilihan Pulau Pinang bagi penganjuran acara bersejarah ini merupakan detik paling bermakna selain tepat pada masanya bagi mempamerkan potensi serta menarik pelbagai peluang pelaburan, sejajar misi Penang 2030.
"Penyesuaian strategik kami bertujuan untuk mencipta landskap ekonomi yang lebih resiliant dan dinamik, memupuk inovasi di samping mewujudkan pekerjaan dan pembangunan lestari," katanya pada sidang media bersempena dengan Kongres IAA, yang turut dihadiri Presiden IAA Malaysia merangkap Pengerusi kongres, John D Chacko.
Mengulas lanjut, Chow berkata, kongres berkenaan turut menjadi platform bagi mengumpul pandangan selain perbincangan panel yang akan merungkai isu-isu berkaitan jenama dan perniagaan dalam pasaran meliputi bidang pemasaran, kecedasan buatan dan landskap teknologi.
"Justeru, kita menggalakkan peniaga tempatan, jenama dan organisasi daripada pelbagai industri seperti pembuatan, penjagaan kesihatan, kewangan, farmaseutikal, semikonduktor, hartanah dan lain-lain untuk menyertai kongres ini kerana ia merupakan medan semua komuniti global berkumpul, sekali gus berupaya menjadi platform penukaran pengetahuan, rangkaian dan kerjasama seterusnya mengembangkan pelbagai industri di negeri ini," katanya.
Sementara itu, Chacko berkata, kongres berkenaan turut mendapat kerjasama daripada beberapa entiti global termasuk Google, Meta, Petal Ads, BBC News, Media Prima, CelcomDigi dan iFlytek.
Beliau berkata, kerjasama itu juga dijangka melonjakkan kongres ke tahap baharu, selain menarik penonton dan liputan media yang lebih meluas. - BERNAMA