Pulau Pinang: "Titah Tuanku Sultan Kedah lahir dari hati" - Mahdzir

Abd Hadi Che Awang
Jun 20, 2023 18:36 MYT
Menurut Mahdzir, sejarah negeri itu yang sangat panjang dan berakhir dengan peristiwa pajakan Pulau Pinang pada 1786, dapat ditafsirkan sebagai 'suatu urusan yang masih belum selesai'. - Fail/Astro AWANI
ALOR SETAR: Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjunjung titah Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sempena Hari Keputeraan Ke-81 baginda pada Ahad, mengenai kedudukan Kedah dan Pulau Pinang.
Menurut beliau, titah yang disampaikan itu adalah lahir dari hati Sultan Kedah terutamanya membabitkan isu sejarah dan kedaulatan negeri itu.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, menyatakan bahawa sejarah negeri itu yang sangat panjang dan berakhir dengan peristiwa pajakan Pulau Pinang pada 1786, dapat ditafsirkan sebagai 'suatu urusan yang masih belum selesai'.
"Ucapan yang dititahkan pada Hari Keputeraan Tuanku adalah ucapan yang lahir dari hati Tuanku, (ia adalah) berkaitan sejarah negeri Kedah yang panjang,
"Mengambil daripada titah Tuanku, menunjukkan Tuanku sangat memahami bahawa fakta sejarah di Kedah ini khususnya dalam Sejarah Kedah Tua sehingga zaman penjajahan British ada perkara yang saya boleh tafsirkan sebagai unfinished business yang tidak diselesaikan," katanya.
Mahdzir berkata demikian ketika sidang media bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah di Alor Setar pada Selasa.
BACA: 'Perjelas isu libat pajakan Pulau Pinang berdasarkan fakta' - Sultan Kedah
Pada Ahad, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah bahawa amat tidak wajar sekiranya suara rakyat negeri itu didiamkan terutama melibatkan sejarah dan kedaulatan Negeri Kedah.
Baginda turut mengingatkan bahawa pembentukan negara Malaysia tidak menjadi titik yang membenarkan sejarah negeri Kedah yang telah wujud sejak sekian lama dipadamkan.
Baginda bertitah, perbincangan mengenai sejarah negeri Kedah di pelbagai platform mulai subur sejak akhir-akhir ini di segenap lapisan masyarakat, terutamanya membabitkan kedudukan negeri itu dan Pulau Pinang.
#Mahdzir Khalid #Sultan Kedah #pulau pinang #Kedah
;