Pulau Pinang tingkatkan pendayaupayaan golongan gelandangan

Bernama
Jun 16, 2023 06:40 MYT
Chow Kon Yeow (tengah) melancarkan Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang di George Town, pada Jumaat. - Gambar Facebook Chow Kon Yeow.
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat meningkatkan pendayaupayaan golongan gelandangan melalui latihan kemahiran serta penganjuran pelbagai bengkel menerusi penubuhan Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM4.4 juta bagi pembinaan pusat transit itu yang akan diselia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) apabila ia beroperasi sepenuhnya pada Ogos ini.
"Pusat ini merupakan satu kemudahan yang menunjukkan kita mengambil kira keperluan dalam masyarakat khususnya golongan gelandangan yang berhak mendapat perhatian.
"Pusat ini bertujuan sebagai transit kepada sesuatu yang lebih baik sama ada balik ke pangkuan keluarga ataupun institusi penjagaan warga emas sebagai langkah yang lebih kekal," katanya kepada wartawan selepas merasmikan pusat itu, di sini, pada Jumaat.
Chow berkata, pusat berkenaan dibina di atas tanah milikan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan keluasan sebanyak 1,370 meter persegi yang dilengkapi dengan sebuah pejabat, ruang bengkel/seminar, ruang asrama lelaki (60 katil) dan wanita (18 katil), kafeteria, surau, ruangan untuk aktiviti riadah, kemudahan bilik mandi dan tandas, bilik pemeriksaan kesihatan serta kemudahan Orang Kurang Upaya.
Katanya, Pusat Transit Gelandangan itu juga boleh menjadi platform yang lebih teratur untuk pelbagai pihak menyalurkan sumbangan mereka seperti dana, kepakaran, kebendaan dan perkhidmatan.
"Kita mengalu-alukan pihak yang mempunyai dana dan kepakaran untuk bekerjasama dengan JKM menguruskan tempat ini serta menganjur pelbagai kursus dan bengkel supaya golongan gelandangan dapat diperkasakan selama mereka menetap di sini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata, seseorang gelandangan boleh menghuni maksimum 14 hari untuk menerima perkhidmatan berwajib rutin daripada kakitangan JKM negeri di sini.
Katanya, pusat itu juga akan membantu dari segi mencari peluang pekerjaan kepada golongan gelandangan sama ada sebagai tukang cuci, tukang kebun atau pengawal keselamatan.
Osman Abdullah, 49, seorang gelandangan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kolej swasta di sini berkata, inisiatif untuk mewujudkan pusat transit ini sangat bagus dan membantu mereka yang memerlukan.
"Buat masa ini saya selalu ke Anjung Singgah tapi jika ia penuh, saya terpaksa berehat di tepi jalan. Saya tidak mempunyai kenderaan, cuma berjalan kaki untuk ke mana-mana.
"Saya seorang mualaf dan sudah lama disisihkan oleh keluarga selepas berkahwin. Pusat seperti ini sangat bagus kerana ia boleh dijadikan tempat berehat," katanya. - BERNAMA
#Chow Kon Yeow #gelandangan #jkm #aktiviti riadah
;