Pulau Pinang tidak naikkan fi hotel - Chow
Bernama
Januari 17, 2025 22:16 MYT
Januari 17, 2025 22:16 MYT
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini menafikan laporan media tempatan yang mendakwa fi hotel di negeri berkenaan akan dinaikkan sehingga 50 peratus pada tahun ini.
Beliau berkata pihaknya tiada sebarang perancangan atau mengadakan perbincangan berhubung cadangan untuk menaikkan kadar bayaran untuk fi hotel.
"Hasil kutipan fi bagi penginapan hotel di negeri ini tidak mencukupi untuk melaksanakan promosi-promosi serta membaik pulih infrastruktur berkaitan pelancongan.
"Namun, kerajaan negeri tetap tidak memilih untuk menaikkan fi hotel seperti yang didakwa sesetengah pihak, malah kita tidak pernah berbincang mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pos Shop Datuk Keramat, di sini hari ini.
Sebelum ini, portal media tempatan melaporkan Pulau Pinang mempertimbangkan untuk menaikkan fi hotel, cukai yang dikenakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ke atas penginapan di hotel sekurang-kurangnya 50 peratus.
Chow berkata kebanyakan proses baik pulih beberapa lokasi pelancongan dan pembinaan infrastruktur baharu untuk pelancong adalah daripada hasil kerajaan negeri dan bukannya fi hotel.
"Sebagai contoh, projek membaik pulih Fort Cornwallis di sini, ia memerlukan peruntukan antara RM15 hingga RM20 juta, manakala Projek Gurney Bay pula melibatkan kos RM220 juta dan semua kos ini dibiayai oleh kerajaan negeri, bukannya menggunakan fi hotel kerana fi yang dikutip tidak mempunyai jumlah yang besar," katanya.
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Mei 2024 dimaklumkan sebanyak RM72 juta dikutip sehingga April 2024 daripada bayaran fi hotel sejak ia diperkenalkan pada 2014.
-- BERNAMA