Pulau Pinang telah kemuka nama calon TYT baharu - Chow
Bernama
Mac 19, 2025 18:15 MYT
Mac 19, 2025 18:15 MYT
Chow telah mengemukakan senarai nama calon Yang Dipertua Negeri yang baharu kepada Pejabat Perdana Menteri setelah mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri bagi pertimbangan Yang di-Pertuan Agong. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang telah mengemukakan senarai nama calon Yang Dipertua Negeri yang baharu kepada Pejabat Perdana Menteri bagi pertimbangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata senarai nama calon itu dikemukakan selepas mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri itu.
"Kita tahu bahwa Yang Dipertua Negeri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk satu penggal empat tahun dan penggal ini akan tamat pada 30 April 2025. Kalau dilanjutkan, ia juga perlu melalui proses lantikan atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
"Kalau tidak dilanjutkan maka perlu satu pelantikan baharu tertakluk kepada Perlembagaan Negeri, saya minta kita semua sabar kerana ini adalah budi bicara Yang di-Pertuan Agong dan pada masa sesuai apa-apa pengumuman akan dibuat berhubung perkara ini," katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar hari ini.
Terdahulu, media melaporkan mengenai calon Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang baharu bagi menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang memegang jawatan itu sejak 1 Mei 2021.
Antara nama yang disebut-sebut ialah bekas Menteri Besar Perak Tan Sri Ramli Ngah Talib.
-- BERNAMA