GEORGE TOWN: Selepas Selangor, Kerajaan negeri Pulau Pinang pula membatalkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri Utama yang dikurniakan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 2009 berkuat kuasa hari ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Pulau Pinang Mohd Zakuan Zakaria memaklumkan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak bersetuju kerajaan negeri membatalkan darjah kebesaran Najib itu berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos mengekalkan sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.

BACA: Sultan Selangor tarik balik darjah kebesaran Najib, Rosmah

"Najib telah dikurniakan Keahlian Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama pada tahun 2009."

"Berdasarkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama adalah dibatalkan dan dimansuhkan berkuat kuasa pada 15 September 2022.

"Pembatalan dan pemansuhan Keahlian ini adalah selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 6 dan 8 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta Peraturan 18 Statut Darjah Pangkuan Negeri 2011," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada 12 September lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah  menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri yang dikurniakan kepada Najib pada 1992 dan 2004.
 
Bagaimanapun, Najib  masih lagi mempunyai gelaran Datuk Seri dari beberapa negeri lain iaitu, Pahang, Perak, Melaka, Kedah,  Perlis, Sabah dan Sarawak.
.
Bekas perdana menteri itu sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos menolak rayuannya terhadap sabitan SRC International atas tujuh pertuduhan jenayah, serta hukuman penjara dan denda RM210 juta sebagai ganti tambahan lima tahun penjara.