Pulau Pinang selesai bayaran ex-gratia SIMP lebih RM11 juta kepada nelayan

Bernama
Januari 6, 2025 05:15 MYT
Pulau Silikon seluas 930.78 hektar ini merupakan projek penambakan milik kerajaan Pulau Pinang bermatlamat untuk menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang negeri itu. - Gambar fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Pulau Pinang telah menyelesaikan bayaran ex-gratia berjumlah RM11,770,080 kepada semua nelayan yang layak dan berdaftar di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) untuk projek Pulau Silikon.
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, pembayaran itu disalurkan kepada 791 nelayan yang mempunyai lesen dan masih aktif.
"Kami mempunyai 877 nelayan yang berdaftar untuk SIMP, tetapi 84 daripada mereka gagal mengemas kini dokumen sebelum tarikh akhir 31 Okt 2024.
"Hal ini termasuk nelayan yang tidak aktif, mereka yang mempunyai lesen baharu 2024, sebahagian yang telah berpindah dan beberapa orang telah meninggal dunia.
"Bayaran ex-gratia untuk dua nelayan lagi ditangguhkan buat masa ini disebabkan konflik kepentingan berikutan kes mahkamah yang sedang berjalan dengan pihak kami," katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, Jawatankuasa Taskforce Nelayan juga telah memutuskan untuk menangguhkan bayaran terbabit sehingga rayuan diselesaikan.
Sementara itu, nelayan Lee Thean How, 38, berkata dia memutuskan untuk menyerahkan semua bayaran ex-gratia kepada bapanya yang merupakan pemilik bot untuk membeli peralatan menangkap ikan yang diperlukan.
"Ex-gratia ini sangat membantu kami dalam menaik taraf peralatan dan meningkatkan kecekapan ketika menangkap ikan di laut," katanya.
Selain itu, Chin Yoong Chun, 48, dari Pulau Betong berkata, bayaran itu amat berguna untuk persiapan Tahun Baharu Cina, terutamanya dalam membeli barang perayaan dan angpau untuk saudara-mara serta rakan-rakannya.
Terdahulu, Chin dan Lee merupakan antara 10 nelayan dari Teluk Kumbar, Batu Maung, Seri Jerjak, Teluk Tempoyak dan Pulau Betong yang menerima hamper perayaan Krismas dan Tahun Baharu di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) di Permatang Damar Laut baru-baru ini.
Pulau Silikon seluas 930.78 hektar itu merupakan projek penambakan milik kerajaan Pulau Pinang bermatlamat untuk menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang negeri itu.
- BERNAMA
#nelayan #Pulau Silikon #Penang Infrastructure Corporation #ex-gratia SIMP
;