Pulau Pinang sedia beri sumbangan kewangan jika Lembaga Lembangan Ulu Muda ditubuhkan

Bernama
November 27, 2024 16:10 MYT
Zairil berkata perkara itu juga telah dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Air Negara sebelum ini yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Pulau Pinang sedia memberikan sumbangan kewangan sekiranya Lembaga Lembangan Ulu Muda (LLUM) dapat ditubuhkan bagi mengawal dan menguruskan sumber air di Ulu Muda, Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata perkara itu juga telah dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Air Negara sebelum ini yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
"Selangor bayar (caj air mentah) kepada Pahang sebab ambil air dari Pahang, Singapura bayar kepada Johor sebab ambil air dari Johor (tetapi) kita (Pulau Pinang) ambil air dari sungai di Pulau Pinang, jadi tidak timbul isu berkaitan caj itu.
"Namun demikian, ketika saya mewakili Ketua Menteri dalam Mesyuarat Majlis Air Negara, masa itu Menteri Besar Kedah ada, dan beliau bangkitkan perkara sama bahawa tidak bolehkah Pulau Pinang bayar, saya kata Pulau Pinang sedia untuk beri sumbangan kewangan untuk LLUM sekiranya kita (Kedah dan Pulau Pinang) setuju untuk memastikan pemeliharaan LLUM itu dilaksanakan," katanya.
Zairil berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Muhammad Fauzi Yusoff (PN-Sungai Dua) yang meminta Pulau Pinang membayar caj air mentah kepada Kedah yang ketika ini mengambil 84 peratus sumber airnya dari Sungai Muda.
Sebelum ini Ketua Menteri Chow Kon Yeow meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan penubuhan LLUM, dan cadangan bagi menguruskan kawasan tadahan air di Ulu Muda secara profesional, kerana kawasan tadahan air terpenting itu menyalurkan bekalan air mentah ke tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Dalam perkembangan lain, Zairil memberitahu Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menyalurkan peruntukan hampir RM1 bilion kepada Pulau Pinang bagi pembangunan melibatkan pakej di bawah Projek Pembesaran Empangan Mengkuang dan projek-projek pembangunan sumber air lain sehingga kini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bunga berkata ia bertujuan memastikan keterjaminan sumber air mencukupi bagi memenuhi permintaan bekalan air yang tinggi kepada penduduk Pulau Mutiara.
"Kerajaan negeri juga sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama Kerajaan Persekutuan dalam memastikan permohonan projek-projek pembangunan sumber air yang telah diangkat kepada PETRA dapat diberikan keutamaan dalam pembiayaan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
#isu air #pulau pinang #Kedah #Lembaga Lembangan Ulu Muda
;