Pulau Pinang sebagai lokasi pupuk kejayaan pemula niaga, syarikat besar tempatan bidang teknologi

Bernama
Februari 17, 2024 16:15 MYT
Pulau Pinang dilihat sebagai lokasi pemupukan kisah kejayaan syarikat pemula niaga dan syarikat besar tempatan (LLC) yang setanding dengan firma teknologi dunia. - Gambar fail/Bernama
GEORGE TOWN: Pulau Pinang, sebagai Lembah Silikon di Timur, adalah lokasi pemupukan kisah kejayaan syarikat pemula niaga dan syarikat besar tempatan (LLC) yang setanding dengan firma teknologi dunia.
Satu contoh hebat ialah penyedia penyelesaian automasi perindustrian tempatan, Greatech Technology Bhd yang ditubuhkan oleh Tan Eng Kee dan Khor Lean Heng pada 1997.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat kilang Greatech yang terletak di Bayan Lepas di sini semasa dalam rangka lawatan di Pulau Pinang semalam, dengan diiringi Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Menerusi catatan di laman Facebook, Sim berkata Greatech menghasilkan mesin penting untuk membuat produk berteknologi tinggi seperti bateri kenderaan elektrik (EV), panel solar dan papan kecerdasan buatan (AI) untuk syarikat teknologi tinggi terkemuka global.
"Greatech kini merupakan 'unicorn' dan kisah kejayaan industri teknologi tinggi Malaysia. Semua mesin yang menghasilkan produk berteknologi tinggi ini direka bentuk, dibuat dan dikeluarkan di Greatech Pulau Pinang.
"Greatech berada di kedudukan paling penting bagi AI, realiti tambahan, EV dan revolusi teknologi hijau. Saya berasa sangat bangga, saya percaya Perdana Menteri juga berasakan sedemikian," katanya.
'Unicorn' ialah syarikat yang mencatatkan nilai lebih AS$1 bilion.
Sim berkata lebih mengagumkan adalah semua reka bentuk dan pengeluaran mesin itu dilakukan oleh jurutera tempatan Malaysia.
Beliau berkata itu menandakan golongan muda perlu mempelajari mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik kerana masa depan pekerjaan adalah dalam sektor teknologi tinggi dan Malaysia mempunyai keupayaan dalam industri teknologi tinggi global.
Semasa lawatan di Pulau Pinang, Anwar berkunjung ke acara Jualan Termurah Madani di Bandar Perda pada sebelah pagi sebelum menghadiri Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.
Beliau kemudian menunaikan solat Jumaat dan menghadiri jamuan tengah hari masyarakat di Masjid Jamek Tengah Berapit di Permatang Pauh.
Selepas itu, beliau merasmikan Karnival Pemerkasaan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang di Dewan Seri Mutiara, Politeknik Seberang Perai sebelum mengakhiri lawatannya dengan majlis pecah tanah Taman Perindustrian Batu Kawan 3.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #pulau pinang #Lembah Silikon #syarikat pemula #syarikat besar tempatan
;