Pulau Pinang sasar peningkatan pelancongan perubatan

Bernama
Februari 16, 2023 18:41 MYT
Kolaborasi antara Penang Adventist Hospital dan Firefly menyasarkan untuk menerbangkan pelancong perubatan dari luar bagi menerima perkhidmatan perubatan berkualiti di Pulau Pinang. - Bernama
GEORGE TOWN: Pulau Pinang menyasarkan peningkatan dalam sektor pelancongan perubatan menerusi kerjasama strategik Penang Adventist Hospital dengan syarikat penerbangan tambang murah Firefly.
Presiden dan ketua pegawai eksekutif Penang Adventist Hospital Ronald Koh Wah Heng berkata kolaborasi itu menyasarkan untuk menerbangkan pelancong perubatan dari luar bagi menerima perkhidmatan perubatan berkualiti di negeri ini.
"Dengan kerjasama ini, Firefly akan melancarkan penerbangan secara terus pertamanya dari Pulau Pinang ke Medan dan Medan-Pulau Pinang dengan Boeing-737 mulai 17 Februari (esok).
"Laluan penerbangan baharu secara terus ini akan membuka peluang kepada pelancong Indonesia untuk ke Pulau Pinang, sekali gus meningkatkan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negeri," katanya pada sidang media mengenai kolaborasi itu di sini, hari ini.
Turut hadir Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin.
Koh berkata pihaknya akan menawarkan pakej saringan kesihatan eksklusif pada kadar istimewa kepada penumpang Firefly yang menaiki penerbangan laluan Pulau Pinang ke atau dari Medan dan Banda Aceh.
Beliau berkata promosi itu akan menggalakkan pesakit dan pelancong menjalani saringan kesihatan justeru membolehkan pengesanan awal penyakit.
Sementara itu, Yeoh berkata selain menawarkan perkhidmatan kesihatan, kerjasama antara dua peneraju industri itu turut membolehkan pelancong menikmati keindahan Pulau Mutiara.
"Pulau Pinang telah melabur dalam pelancongan perubatan dan mampu menjana lebih RM52 juta dalam hasil tahun lepas. Ini berjaya dicapai sebahagian besarnya kerana faedah penjimatan kos dan pelbagai pilihan produk pelancongan serta adanya kemudahan perubatan bertaraf tinggi dan pakar perubatan di negeri ini," katanya.
Beliau berkata terdapat keperluan untuk mewujudkan industri pelancongan perubatan yang mempunyai lebih kepelbagaian dan berdaya tahan, selain tidak bergantung pada beberapa negara sahaja.
"Buat masa ini, saya sedang meneliti untuk menarik pesakit antarabangsa dari rantau Asia Selatan dengan populasi 1.9 bilion seperti Bangladesh, Nepal, Pakistan dan banyak lagi.
"Menurut Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), terdapat 800,000 warga Bangladesh mencari rawatan di luar negara setiap tahun. Ini merupakan peluang yang baik untuk kami membawa mereka ke Malaysia, terutama ke Pulau Pinang," katanya.
-- BERNAMA
#pelancongan perubatan #Hospital Adventist #Firefly #pulau pinang
;