Pulau Pinang sasar jana potensi jualan padanan perniagaan RM130 juta di PIHEC 2023
Bernama
Jun 23, 2023 21:48 MYT
Jun 23, 2023 21:48 MYT
GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang menyasar menjana potensi jualan sesi padanan perniagaan bernilai RM130 juta pada Ekspo dan Persidangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEC) 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan negeri Datuk Abdul Halim Hussain berkata jumlah sasaran itu meningkat 30 peratus berbanding semasa penganjuran PIHEC tahun lepas iaitu sebanyak RM100 juta.
"Pada tahun ini jumlah penyertaan meningkat dan sebanyak 351 reruai disediakan bagi acara tahunan yang memasuki kali ke-12 ini dan berdasarkan daripada itu, kita percaya potensi jualan menerusi padanan jualan juga meningkat kerana tahun lepas hanya lebih 100 reruai sahaja menyertai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian PIHEC 2023, di sini, yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Abdul Halim berkata, seramai 400 delegasi dari dalam dan luar negara menyertai ekspo tersebut iaitu dari Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah manakala peserta dari luar negara termasuk China, Chile, Sepanyol, Indonesia, Kemboja dan Vietnam.
Menurutnya, PIHEC 2023 juga diharap dapat menyediakan akses pasaran kepada pelbagai sektor dalam industri halal serta menjadi platform jaringan bagi kalangan usahawan tempatan serta rakan global mereka untuk menembusi pasaran baharu terutamanya China dan Timur Tengah.
"Kali ini lebih 80 delegasi dari China menyertai PIHEC 2023 dan saya percaya ini merupakan peluang bagi usahawan dalam industri halal untuk meneroka pasaran di sana, dalam masa sama juga kita tidak lupa untuk berkolaborasi dengan negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam," katanya.
Justeru, beliau berharap usahawan yang menyertai ekspo itu mampu memaksimumkan rangkaian mereka melalui padanan perniagaan PIHEC 2023 untuk mengenal pasti rakan perniagaan baharu yang berpotensi.
Sementara itu, Abdul Halim berkata, empat topik utama akan dibincangkan semasa persidangan tersebut iaitu Prospek Industri Halal, Logistik di ASEAN, Peranan Wanita dalam Sektor Halal serta Masa Depan Inovasi Teknologi dalam Sektor Halal.
Selain itu, katanya, PIHEC pada kali ini juga turut memperkenalkan beberapa inisiatif baharu kepada usahawan antaranya adaptasi kepada teknologi dan keusahawanan digital untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan teknogi baharu tersebut.
Kira-kira 20,000 pengunjung disasar menghadiri PIHEC 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Bayan Baru dekat sini yang bermula hari ini sehingga Ahad.
-- BERNAMA